Berita

Operasi pasar dilanjut hingga 2 petang ketika Ramadan

ORANG ramai beratur seawal pukul 7 pagi untuk membeli barangan di Pasar Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur pagi ini.
- Diterbit 23 April 2020 9:17 AM MYT

PUTRAJAYA –  Sempena bulan Ramadan bermula esok, tempoh operasi pasar dan pergerakan kenderaan di jalan raya akan ditambah kepada satu jam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Yaakob berkata, langkah itu bagi memudahkan rakyat untuk berbelanja serta menyediakan makanan berbuka dan bersahur.

“Jika sebelum ini, prosedur operasi standard (SOP) pasar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sehingga pukul 12 tengah hari, maka dalam bulan Ramadan kita lanjutkan sehingga pukul 2 petang.

“Sementara itu, pergerakan kenderaan awam pula bermula pukul 4 pagi hingga 10 malam berbanding sebelum ini pada pukul 5 pagi hingga 10 malam,” ujar beliau dalam sidang akhbar hari ini.

Pun begitu, SOP lain yang diperkenalkan sejak PKP berlangsung tetap sama dan tiada perubahan termasuklah operasi kedai makan, kata beliau.

“Tiada perubahan waktu dari segi operasi kedai makan setakat ini kerana kita cuba untuk mengurangkan pergerakan dalam memastikan arahan pematuhan sentiasa dipatuhi.

“Kita tak nak ada yang panjang akal memberi alasan keluar membeli makanan dan ia akan menyukarkan pihak polis,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas