WK2

Realiti PKP:Ramai peniaga terjerat Ahlong

PINJAMAN berlesen semakin berleluasa.
- Diterbit 12 Jun 2020 9:40 AM MYT

SEJAK kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 akibat penularan Covid-19, ramai peniaga terjejas teruk dan gagal menjana pendapatan.

Impak tersebut menyebabkan ada perniagaan berskala kecil terpaksa gulung tikar. Situasi getir ini juga membuatkan mereka sukar mendapat kelulusan pinjaman bank dan akhirnya menjadikan peniaga buntu.

Di saat ekonomi tidak stabil seperti ini, maka sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau lebih dikenali sebagai Ahlong kembali berleluasa.

Taktik licik mereka berjaya menjerat golongan peniaga kecil dan penjaja di sekitar Kuala Lumpur.

Simpati dengan nasib yang menimpa para peniaga, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menggesa agar pihak kerajaan mewujudkan pusat perniagaan setempat dengan harga pengeluaran.

“Segala barang yang diperlukan oleh peniaga boleh disediakan di situ sekali gus mereka ini dapat membeli segala bentuk stok dengan harga kos yang tidak membebankan.

“Saya percaya, golongan ini sangat memerlukan duit untuk membeli barang niaga mereka, jika harga yang dikenakan pihak luar tinggi maka tiada bezanya juga keadaan ini. Contoh baru-baru ini, harga cili sahaja boleh mencecah RM20 sekilogram.

Sudah tentu ia membebankan peniaga,” ujarnya kepada Wilayahku.

Nadzim berkata, dengan kaedah tersebut maka pihak kerajaan juga tidak terlalu terbeban untuk membantu peniaga dengan adanya kawalan harga sebegitu dari pusat tersebut.

“Dalam masa yang sama, agensi kerajaan dan swasta perlu bersungguh-sungguh berganding bahu membantu peniaga di luar sana agar mereka mendapat pinjaman untuk pembelian barang seperti baucar misalnya.

“Pihak peniaga sebenarnya hanya fikir untuk membeli barang. Tidak dinafikan kadang-kadang kalau pihak kerajaan bagi duit, mereka beli benda lain, akhirnya stok barang pun entah ke mana,” ujar beliau.

Berpandangan jauh ke hadapan, beliau juga memandang tinggi usaha Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa yang begitu prihatin terhadap kesukaran warga Wilayah saat ini.

“Jika ada usaha daripada semua pihak maka tidak mustahil kita mampu untuk mengubah wajah ekonomi di Kuala Lumpur sedikit masa sahaja lagi,” kata beliau.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas