WK2

Kereta sewa dibakar Ahlong

PPIM sering menerima aduan berkenaan Ahlong.
- Diterbit 12 Jun 2020 10:00 AM MYT

MENYEDARI keperluan kewangan semakin menghimpit dalam kalangan peniaga, ahli sindiket Ahlong bijak mengambil kesempatan di atas kesusahan yang dihadapi oleh peniaga terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Faisal Razi yang pernah menjadi mangsa sindikit, dia pernah kerugian hampir RM50,000 walaupun nilai pinjamannya hanyalah RM30,000.

“Bukan itu sahaja, sebuah kenderaan kereta sewa yang saya usahakan turut dibakar setelah gagal membayar bunga yang diminta. Selain itu, saya juga terpaksa menghentikan operasi perniagaan kereta sewa akibat tidak tahan dengan gangguan berterusan daripada pihak Ahlong.

“Saya akui adakalanya kesilapan berpunca daripada peniaga sendiri, namun langkah pencegahan dan usaha memberi kesedaran mampu mengurangkan kes sebegini,” ujarnya.

Katanya lagi, pihak berkuasa tempatan termasuk polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) perlu bekerjasama membanteras sendiket ini yang secara berleluasa menghubungi serta menampal iklan di kawasan tumpuan ramai.

Sementara itu, bagi pengusaha makanan, yang mahu dikenali sebagai Abang Mat Dan pula, modus operandi sindiket ini kembali aktif dalam tempoh PKP dengan mensasarkan para peniaga yang memerlukan tunai bagi meneruskan perniagaan.

Katanya, dia sendiri kerap kali dihubungi ahli sendiket yang kononnya menawarkan pinjaman tunai mudah tanpa sebarang cagaran dan dokumentasi diperlukan untuk proses memohonnya.

“Mereka ini bijak mengambil kesempatan di atas kesempitan para peniaga yang memerlukan tunai untuk meneruskan perniagaan. Tawaran mereka sangat menarik kononnya pinjaman diberikan tanpa faedah khusus kepada golongan peniaga.

“Rakan-rakan saya banyak yang tertipu lebih-lebih lagi apabila sindiket ini dapat memberikan wang tunai secepat mungkin tanpa memerlukan dokumen rasmi semasa memohon,” katanya kepada Wilayahku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas