Berita

Rakam cabaran setahun terajui KWP

KHALID menurunkan tandatangan pada buku 365 Hari Mengurus Transisi Memenuhi Harapan.
KHALID menurunkan tandatangan pada buku 365 Hari Mengurus Transisi Memenuhi Harapan.
- Diterbit 23 Ogos 2019 5:20 AM MYT

PUTRAJAYA – Buku 365 Hari Mengurus Transisi Memenuhi Harapan menggambarkan sisi sebenar Khalid Abd. Samad serta tanggungjawab yang dipikul selepas dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 2 Julai 2018.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, buku yang mempunyai 117 halaman itu merupakan kompilasi ucapan, gambar dan tulisan khas menteri bertajuk Setahun Sebagai Menteri Wilayah Persekutuan merupakan catatan sebenar tentang tempoh satu tahun kepimpinan Khalid.

Beliau memetik sebagai isi kandungan buku tersebut; ‘Semoga tahun pertama ini dapat membaiki kemahiran pengurusan dan pentadbiran saya serta memperbetulkan peranan saya selama ini kerana kini bukan lagi pembangkang tetapi pentadbir dan pemerintah. Tugas saya bukan lagi untuk mencari kesilapan dan kelemahan tetapi untuk menyelesaikan masalah, membina jati diri rakyat dan membangunkan negara’.

“Demikian intipati sebenar buku tersebut, saya percaya hadirin sekalian dapat merasai apa yang cuba dilaksanakan oleh Yang Berhormat Menteri sepanjang tempoh setahun,” kata beliau ketika berucap merasmikan buku tersebut pada majlis perasmian buku tersebut di sini baru-baru ini.

Menurut Saripuddin, Khalid juga seorang yang istimewa ke­rana sangat kuat bekerja selain komited dan berusaha keras.

“Saya secara peribadi ingin menyatakan beliau seorang menteri yang komited, bekerja keras. Ia berdasarkan pengalaman saya menjadi KSU selama hampir lapan tahun dan berkhidmat di bawah empat buah kementerian serta beberapa orang menteri daripada pelbagai parti politik,” jelasnya.

Buku terbitan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dengan kerjasama Wilayah Media Sdn. Bhd. itu merakamkan pelbagai aktiviti di kementerian dan agensi-agensi selain fokus kepada 10 kejayaan utama yang dicapai selama setahun.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas