Berita

Portal Wilayahku dekati masyarakat

KHALID (kanan) bersama Saripuddin menunjukkan portal Wilayahku yang dilancarlkan di Menara Seri Wilayah, Putrajaya baru-baru ini.
KHALID (kanan) bersama Saripuddin menunjukkan portal Wilayahku yang dilancarlkan di Menara Seri Wilayah, Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 23 Ogos 2019 5:19 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

PUTRAJAYA – Pelancaran portal berita Wilayahku yang disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad baru-baru ini mendapat maklum balas positif daripada warga Wilayah Persekutuan.

Pengenalan portal Wilayahku.com.my itu sejajar dengan perkembangan semasa bagi membolehkan rakyat seluruh negara mendapat maklumat berkaitan perkembangan yang berlaku di Wilayah Persekutuan termasuk aktiviti warganya.

Khalid berkata, portal berita itu diwujudkan susulan akhbar berusia lapan bulan berkenaan turut mendapat permintaan tinggi dari penduduk di luar Wilayah Persekutuan.

Ujar beliau, portal itu juga sejajar dengan perkemba­ngan masa kini yang mana maklumat disebarkan dengan lebih cepat dan pantas kepada pembaca sekali gus memperluaskan lagi liputan pembaca ke seluruh negara malah boleh diakses warga dunia.

Khalid menyatakan portal berita yang setanding dengan media arus perdana dan media baharu amat penting bagi sesebuah kementerian seperti Kementerian Wilayah Persekutuan berikutan masyarakat terdedah kepada penyebaran berita palsu atau separa benar yang ditular pihak tidak bertanggungjawab dalam media sosial.

“Pada 4 Januari lalu, saya melancarkan akhbar Wilayahku yang diurus terbit oleh Wilayah Media Sdn. Bhd., anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP). Diam tidak diam sekarang sudah 32 edisi akhbar Wilayahku berjaya diterbitkan setiap minggu.

“Apa yang membanggakan, akhbar ini sudah berjaya mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kota malah diterima baik penduduk di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Buku 365 Hari Mengurus Transisi Memenuhi Harapan dan Pelancaran Portal Berita Wilayahku di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Setia­usaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas