Berita

Putrajaya sebagai bandar mesra sukan di Wilayah Persekutuan

||||
- Diterbit 16 Jun 2020 7:16 AM MYT

BAGI menyokong hasrat kerajaan menjadikan Bandar Pusat Pentadbiran Negara yang berkualiti tinggi, Kerajaan merancang untuk menyediakan kemudahan infrastruktur sukan dan rekreasi bertaraf ANTARABANGSA. Putrajaya Akan terus dibangunkan sebagai ‘Bandar Mesra Sukan’.

PADANG AWAM

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) akan menyediakan antara lain empat buah padang bola sepak komuniti dengan keluasan 16 ekar di Presint 5.

STADIUM RAGBI

Kerjasama tersebut turut membabitkan projek pembangunan Stadium Ragbi Nasional baharu di Presint 13 berkeluasan 16 ekar serta kemudahan latihan dan pertandingan dengan kapasiti pengunjung seramai 5,000 orang.

PUSAT OLAHRAGA

Di samping itu, PPj akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) bagi pembangunan Kompleks Sukan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan di Presint 13 seluas 7 ekar yang dilengkapi dengan kemudahan sukan olahraga dan balapan. Kompleks ini juga akan menjadi pusat latihan atlet Wilayah Persekutuan untuk menjalani latihan secara intensif selain memberi manfaat kepada penduduk setempat.

PUSAT PENTADBIRAN FAM, AFF DAN AFC DAN SOCCER CITY SAS

Selain itu, PPj turut memeterai pertukaran dokumen (LOI) dengan Asean Football Federation (AFF), Asean Football Confederation (AFC) dan Football Association of Malaysia (FAM) bagi pembangunan Soccer City Putrajaya berkeluasan 42.43 ekar di Presint 5. Projek ini melibatkan pembangunan sebuah stadium bola sepak baharu milik AFC berkapasiti 10,000 penonton, sebuah ibu pejabat FAM berserta pusat latihan bola sepak kebangsaan bagi kegunaan pemain senior dan junior kebangsaan,

ibu pejabat AFF serta kemudahan-kemudahan sukan lain bertaraf dunia.

Hubungan kerjasama strategik ini meliputi bidang perkongsian kepakaran, kemudahan dan fasiliti, penempatan latihan industri, penganjuran klinik sukan, latihan, kursus, ceramah, bengkel, seminar, khidmat jurulatih dan pengadil, khidmat perundingan, tajaan, dana, sumbangan, biasiswa dan lain-lain.

MOU PEMBANGUNAN SUKAN

Kerjasama strategik turut diperluaskan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara MSWP sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan sukan di seluruh Wilayah Persekutuan bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaya (UM) dalam memastikan hasrat Wilayah Persekutuan menjadi kuasa besar sukan tercapai. Ini secara tidak langsung dapat memberi impak yang besar kepada pembangunan sukan negara terutama dalam aspek perkembangan pendidikan atlet dan penyelidikan sukan.

Pembangunan ini secara tidak langsung akan dapat mewujudkan peluang-peluang baru dalam bidang perkhidmatan perhotelan, perniagaan, makanan dan minuman (F&B).

MERAIKAN ATLET CEMERLANG WP

Dalam pada itu, Kementerian turut meraikan kejayaan atlet Wilayah Persekutuan yang berjaya menyumbang pingat di temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina tahun lalu dengan pemberian insentif sebanyak RM93,700.00. Pemberian insentif ini bertujuan meningkat, menggalak serta memberi motivasi kepada atlet-atlet Wilayah Persekutuan yang mewakili negara ke peringkat antarabangsa. Pemenang pingat emas akan menerima wang tunai berjumlah RM2,000 bagi setiap pingat yang diraih, perak (RM1,500) dan gangsa (RM1,000). Diharapkan insentif ini akan menyemarakkan lagi semangat para atlet untuk terus berusaha mengharumkan nama Wilayah Persekutuan dan Malaysia di peringkat antarabangsa.

TAN SRI TPr HJ ANNUAR MUSA
Menteri Wilayah Persekutuan 16 Jun 2020

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas