Artikel

Realisme baharu Annuar Musa

ANNUAR beramah mesra dengan penduduk sekitar Kampung Sungai Keling semasa lawatan rasmi di Labuan baru-baru ini. ANNUAR beramah mesra dengan penduduk sekitar Kampung Sungai Keling semasa lawatan rasmi di Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 18 Jun 2020 2:13 AM MYT

Perubahan kerajaan Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional menyaksikan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, turut tersenarai dalam kabinet baharu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pelantikan Annuar sebagai anggota kabinet ibarat sirih pulang ke gagang setelah beliau pernah menjadi sebahagian anggota muda kabinet negara pada era 90-an. Lebih tiga dekad lalu beliau pernah menganggotai kabinet sebagai Menteri Belia dan Sukan (1990-1993) dan kemudiannya Kementerian Pembangunan Luar Bandar (1993-1999).

Annuar, 63, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Desa daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Pembinaan daripada  University College of London.

Mungkin ramai yang beranggapan adalah aneh untuk Annuar dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan sedangkan beliau merupakan ahli Parlimen Ketereh, Kelantan.

Namun sejarah penjawat posisi ini tidak selalunya orang Wilayah Persekutuan. Hassan Adli Mohd Arshad (1976-78), Tun Hussien Onn (1978-80),  Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud (1980-1981), Sulaiman Daud (1981), Shahrir Abdul Samad (1983-1985), Mohd Isa Abdul Samad (2004-2005) dan Khalid Abdul Samad (2018-2020) adalah senarai panjang Menteri Wilayah Persekutuan yang bukan Ahli Parlimen dalam Wilayah Persekutuan.

Hanya Sharizat Abdul Jalil,  Zulhasnan Rafique, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Tengku Adnan Tengku Mansor antara pemimpin politik Wilayah Persekutuan yang pernah menduduki jawatan ini.

Namun begitu pelantikan Annuar ke jawatan ini bukanlah sesuatu yang terlalu janggal dan aneh. Annuar bukan sahaja mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan malah mempunyai pengalaman dalam perancangan Kuala Lumpur sendiri.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Perancang Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 1981 selama setahun.

Sentuhan Jaringan Sosial Annuar Musa

Lalu sepanjang tiga bulan lalu kita melihat gerakan agresif Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dalam menyelesaikan masalah rakyat terutamanya golongan bawahan.

Dari kisah gelandangan Kuala Lumpur sehinggalah kepada peniaga kecil tepi jalan dan penduduk berpendapatan rendah sudah menerima sentuhan beliau ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

GOLONGAN gelandangan disantuni dan diberi perhatian sepenuhnya sehingga penyediaan pekerjaan.

Apabila dilaksakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KWP mengumumkan Inisiatif Cakna Wilayah yang menumpukan kepada bantuan kewangan dan kelegaan komitmen bulanan kepada penduduk Wilayah Persekutuan (WP) yang berpendapatan rendah atau B40.

Semua rumah sewa dan premis perniagaan di bawah kendalian KWP dikecualikan sewa selama 6 bulan. Ini bagi membantu sosio ekonomi rakyat termasuk peniaga yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Di bawah peruntukan sebanyak RM63 juta bagi membantu penduduk Wilayah Persekutuan semasa PKP ini, Annuar turut mengumumkan elaun tambahan sebanyak RM200 dan pek makanan kepada 5,000 petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan yang bekerja semasa PKP.

Bantuan ‘one-off’ RM500 kepada mangsa positif Covid-19 dan RM2,500 jika berlaku kematian di kalangan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Mereka yang membeli rumah melalui pinjaman Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) diberi penangguhan pembayaran balik pinjaman untuk tempoh enam bulan seperti mana moratorium bank.

Selain itu seramai 65,000 keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di rumah awam Kuala Lumpur dan 1,000 di Putrajaya menerima bantuan barang keperluan asas bernilai antara RM70 hingga RM100.

Dalam masa yang sama sekitar 17,617 penjaja kategori bazaria, food truck, gerai tepi jalan, pasar malam, pasar terbuka, penjaja beredar pemegang permit sementara, penjaja waktu terhad dan pengusaha pasar tani diberikan sumbangan RM500 bagi meringankan bebanan kerana aktiviti perniagaan tertangguh.

Annuar sendiri menyatakan fokusnya adalah untuk memastikan golongan kurang bernasib baik diberikan perhatian supaya tekanan daripada kos sara hidup tinggi dan kemiskinan bandar dapat ditangani melangkaui waktu PKP.

Menurut Annuar, “Fokus KWP adalah ke arah memastikan penduduk miskin dapat membeli barang keperluan pada harga rendah, mengurangkan kos menghantar anak ke sekolah, mengurangkan lagi kos perubatan dan rawatan membabitkan sakit ringan, serta mencari peluang pekerjaan alternatif untuk mereka menambah pendapatan.”

Cabaran

Namun cabaran terbesar Annuar ialah bagaimana menguruskan kawasan besar dalam KWP yang merangkumi bandaraya Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Labuan.

Kuala Lumpur dengan hampir 2 juta penduduk merupakan cabaran terbesar buat Annuar. Beliau perlu menguruskan kepelbagaian pemikiran, taraf hidup, etnik dan kepercayaan agama.

Tidak mudah untuk mengimbangi kehendak-kehendak rakyat yang terpisah dan terasing dengan pelbagai segmen ini.

Rakyat yang berpendapatan tinggi dengan pendapatan sederhana dan rendah mempunyai pandangan yang sangat berbeza.  Keperluan pembangunan perumahan kos rendah dan sederhana untuk rakyat bawahan terpaksa diimbangi dengan ancaman-ancaman lobi alam sekitar.

Kemahuan rakyat beragama Islam tepaksa diimbangi dengan pandangan bukan Islam dan golongan berfikiran bebas.

Di sini juga tempat kapitalis bertembung dengan nasionalis dalam keperluan meletakan nilai sejarah, budaya dan ilmu sebagai sebahagian daripada kehidupan kota besar negara ini.

Di Putrajaya cabaran berlainan sekali dan memerlukan fokus berlainan.

Putrajaya tidak ada masalah perbezaan yang ketara antara rakyat. Bagi sebuah bandar yang dirancang sebagai pusat pentadbiran, Putrajaya harus memenuhi aspirasi dan antisipasi rakyat yang mahu melihat sebuah bandar terurus, tersusun dan kemas.

Cabarannya lebih kepada pengurusan fizikal yang walaupun bukan senang, tidak sesukar menguruskan hal manusiawi di Kuala Lumpur.

Di sini Annuar tidak akan berhadapan cabaran penentangan pemikiran dan perjalanan sosial yang sangat kontras seperti Kuala Lumpur. Sebahagian besar merupakan kakitangan kerajaan yang memahami aspirasi negara.

Namun kalaulah boleh, perlu juga Putrajaya dimeriahkan dengan aktiviti seni budaya yang berteraskan pemikiran dan nilai intelektual.  Pementasan teater, wacana pemikiran lama dan kontemporari, sanggar puisi dan bahas agama boleh membentuk satu tarikan baru kepada kota pentadbiran negara ini.

PUTRAJAYA pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Nun jauh di hujung negara, Pulau Labuan memerlukan nilai tambah baru, bukan sekadar bertumpu kepada sektor minyak dan gas yang agak merudum sekarang.

Walaupun Annuar menyatakan keperluan mempertimbangkan jambatan Labuan ke Sabah, namun beliau juga secara terang menyatakan ia sukar dilaksanakan dalam masa terdekat.

Dunia berhadapan krisis ekonomi yang tidak memungkinkan mega projek baharu seperti ini dilaksanakan.

Justeru Annuar perlu memikirkan cara menjadikan Labuan sebagai satu destinasi  pelancongan domestik utama. Ini akan mewujudkan pertumbuhan ekonomi membantu penduduk Labuan.

PENUTUP

Annuar Musa sentiasa menjadi tokoh yang kontroversi baik semasa menjawat Menteri Pembangunan Luar Bandar, mahu pun ketika menjadi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Namun 100 hari pertama di Kementerian Wilayah Persekutuan memperlihatkan satu realisme baharu pada sosok pemimpin politik berusia 63 tahun ini. Jika prestasi ini dapat dikekalkan, beliau mungkin akan diingati antara Menteri Wilayah Persekutuan yang punya wibawa tersendiri. – Oleh: AB JALIL BACKER

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas