Berita

96 atlet Wilayah terima insentif Sukan Sea 2019

- Diterbit 16 Jun 2020 6:15 AM MYT

SERAMAI 96 atlet Wilayah Persekutuan diraikan dalam satu majlis ringkas di Putrajaya bagi menghargai jasa mereka mengharumkan nama Negara pada temasya Sukan SEA Manila 2019 yang lalu. 

Atlet yang merangkumi pelbagai acara itu juga turut menerima insentif berupa wang tunai RM2,000 kepada pemenang pingat emas, RM1,500 kepada pemenang pingat perak dan RM1,000 kepada pemenang pingat gangsa.

Ternyata imbuhan yang disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa itu mendapat reaksi positif daripada atlet Wilayah yang rata-ratanya teruja dengan penghargaan tersebut. 

Atlet gimnastik, Izzah Amzan, 20, berterima kasih di atas keprihatinan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang menghargai penat lelah atlet berjuang demi menjulang nama negara di mata dunia. 

“Saya cukup berbangga kerana mampu menyumbangkan dua pingat emas dan satu perak pada Sukan SEA 2019 tahun lepas. Insya-Allah berkat dorongan ini, saya mahu mencipta lebih lagi kejayaan di masa hadapan,” ujarnya. 

Sementara itu, menurut atlet Obstacle Course Race (OCR), Yip Hui Teng, 29 yang berjaya meraih pingat Perak, dia cukup menghargai insentif yang diberi lebih-lebih lagi ketika mana saat ini negara sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi. 

“Semoga dengan bantuan ini bukan sahaja sebagai motivasi tetapi turut membantu meringankan beban atlet,” ujarnya yang teruja mewakili negara dalam acara yang jarang dipertandingkan dalam temasya itu.

Terdahulu, sebanyak RM93,700 diperuntukkan kepada pemenang bagi menyemarakkan lagi semangat para atlet untuk terus berusaha menaikkan nama Wilayah Persekutuan dan Malaysia di peringkat antarabangsa. OLEH – AINI MAWAWI -WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas