Selebriti

Puteri Sarah bersyukur MyMedic@ Wilayah bantu B40

- Diterbit 5 Disember 2022 7:34 AM MYT

CUACA yang tidak menentu saat ini menjejaskan kesihatan. Dalam masa yang sama, hospital dan klinik dipenuhi pesakit saban waktu. Tidak kiralah dari golongan kanak-kanak, muda mahupun tua, semuanya memerlukan rawatan.

Usaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menganjurkan Program MyMedic@Wilayah untuk memudahkan rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sekitar Wilayah Persekutuan mendapatkan rawatan patut dipuji.

Menurut pelakon popular Puteri Sarah Liyana, van MyMedic@Wilayah amat memudahkan golongan tua serta ibu bapa untuk membawa anak kecil berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

“Harapnya, Van MyMedic@Wilayah anjuran KWP ini akan diperluaskan lagi,” tulisnya di Instagram.

Dia yang turut memuat-naik video tentang MyMedic@Wilayah mengakui program secara percuma tersebut menandakan keprihatinan kerajaan kepada masalah yang dihadapi rakyat.

“Sekarang ini ramai yang mudah terdedah kepada sakit, namun tak semua mampu mendapatkan rawatan di klinik. Tambah pula jika melibatkan warga emas yang tidak mampu bergerak jauh.

“Jadi, dengan adanya program ini, mereka boleh dapatkan rawatan kesihatan hanya di hadapan kediaman sahaja. Mudah bukan? Mereka yang berkerusi roda pun boleh join,” ujarnya lagi.

MyMedic@Wilayah yang dianjurkan KWP mendapat kerjasama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas