Selebriti

Manfaatkan tawaran rumah KWP – Alyah

- Diterbit 5 Disember 2022 6:50 AM MYT

RAMAI yang tidak berkemampuan untuk membeli rumah disebabkan pelbagai halangan antaranya gaji yang terlalu rendah, komitmen yang tinggi, kenaikan kos sara hidup dan harga rumah yang mahal.

Menyedari hal ini, penyanyi Alyah menyeru agar rakyat terutamanya warga Wilayah Persekutuan memanfaatkan kemudahan Residensi Prihatin Keluarga Malaysia yang disediakan kerajaan.

“Kalau terpandang iklan rumah untuk dijual dengan harga tinggi kat tengah bandar ni kadang-kadang terdetik dalam hati saya, mampu ke pasangan yang baru kahwin atau mereka yang baru ingin memiliki rumah pertama untuk beli?

“Kemudian, bila saya dapat tahu ada Residensi Prihatin Keluarga Malaysia yang dijual untuk pembeli rumah pertama dengan harga bawah RM200,000 ribu, okay sangat tu kan?,” tulisnya di akaun Instagram miliknya.

Menurut pelantun lagu Cinta Sahabiyah ini, peluang seperti ini tidak harus disia-siakan kerana ia sangat bermanfaat.

“Saya tahu sekarang ini ramai yang ‘berhempas pulas’ dalam menjalani kehidupan seharian. Tambah pula mereka yang mempunyai banyak komitmen. Apatah lagi nak beli rumah kan?

“Jangan putus asa. Ini adalah tawaran terbaik untuk anda membeli rumah. Manalah tahu ada rezeki. Kena cuba! Kalau nak tengok-tengok rumah pilihan, boleh ke portal berkaitan, katanya nak bina kat Putrajaya pula nanti,” tambahnya lagi.

Sebarang maklumat lanjut boleh layari  https://residensiprihatin.kwp.gov.my     – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas