Berita

Pusat tahfiz perlu mendaftar untuk mudahkan bantuan

- Diterbit 27 Ogos 2020 9:59 AM MYT

PERISTIWA kebakaran Pusat Tahfiz di Keramat yang berlaku pada 2017 harus dijadikan iktibar agar ia tidak berulang pada masa hadapan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, ekoran kejadian itu kerajaan telah menggalakkan kesemua pengendali sekolah tahfiz untuk berdaftar agar dapat membantu mereka.

“Sehingga kini masih ada kira-kira 12 pusat tahfiz di Kuala Lumpur yang belum sempurna pendaftaran mereka.

“Selain itu, ada tiga buah sekolah tahfiz di Labuan dan satu di Putrajaya yang belum berdaftar dan bakinya lebih 20 buah pusat tahfiz telahpun berdaftar dengan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Tahfiz Al-Yamani di Flat PKNS Kampung Bharu di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Annuar yang juga Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menyerahkan sumbangan tunai dan 4,000 pelitup muka kepada Pengetua Tahfiz Madrasah Al-Yamani, Muhd Razali Abdul Khadim.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Mohd Ajib Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Titiwangsa, Datuk Azizul Rahman Hussain Malim dan Pengerusi Persatuan Penduduk Flat PKNS, Zakaria Maidu.

Kata Annuar lagi, pihaknya berharap semua pengendali Pusat Tahfiz di Wilayah Persekutuan dapat berdaftar kerana kewujudan tahfiz di sesebuah komuniti dialu-alukan.

“Cuma kita perlu adakan satu piawaian dan melengkapkan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang boleh kita laksanakan.

“Kita perlu pastikan semua pentadbiran tahfiz meningkatkan dapat kesiapsiagaan dan jangan terlalai langsung berkenaan dengan soal pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti pemakaian pelitup muka dan mencuci tangan,” katanya.

Annuar berkata, pihaknya akan mencari jalan untuk menekankan keperluan sekolah tahfiz dalam perancangan dan pembangunan di Kuala Lumpur.

“Kerajaan akan memastikan hal ehwal pendidikan dan pusat tahfiz akan terkandung dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020-2040 yang sedang dirangka.

“Saya akan cari jalan untuk kita memanfaatkan pusat tahfiz ini. Bagi saya, dakwah dan tuntutan agama segala-galanya bermula dengan pembelajaran al-Quran yang betul,” katanya. – OLEH: AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas