Berita

Hayati hijrah dalam erti kemerdekaan negara

- Diterbit 27 Ogos 2020 9:57 AM MYT

SEJUMLAH lebih 120 orang penduduk setempat tidak melepaskan peluang mengikuti program Ceramah Perdana Maal Hijrah 1442 yang telah berlangsung di Masjid Al-Muhsinin, Taman Danau Desa, Kuala Lumpur minggu lalu.

Sesi ceramah yang menampilkan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Luqman Abdullah sebagai ahli panel itu ternyata memberikan pengertian besar khususnya dalam memupuk semangat cintakan negara bersempena kemerdekaan Malaysia ke-63 tahun ini.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon 1, Seputeh, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, inisiatif penganjuran ceramah agama yang diadakan itu adalah sebahagian usaha memupuk kesedaran dan penghayatan berkenaan erti hijrah di dalam proses kemerdekaan negara.

Beliau berkata, selain memberi kesedaran, acara tersebut juga adalah medan memupuk semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara dalam diri setiap individu untuk bersama istiqamah dan berusaha membela kemakmuran negara.

“Secara prinsipnya, peristiwa Hijrah Baginda Nabi Muhammad SAW lebih 1442 tahun lalu teramat signifikan dengan sambutan kemerdekaan yang mengajak kita setiap rakyat bersatu ke arah satu matlamat menjadi sebuah negara bangsa yang berjaya dan berjasa

“Konsep Hijrah itu sendiri mengajar umat menjadi lebih baik, lebih maju seterusnya meletak Islam itu sebagai asas pegangan hidup. Jadi, samalah juga seperti merdeka, di mana lebih 60 tahun kita dibebas daripada cengkaman penjajah, kini tiba masanya kita mentadbir dan mencorak Malaysia berasaskan semangat perpaduan demi negara bangsa yang tercinta,” katanya.

Sementara itu, Dr Luqman dalam ceramahnya, turut mengingatkan setiap umat Islam tidak alpa dengan kemakmuran dan nikmat yang dimiliki ketika ini, sebaliknya terus berusaha memastikan Islam itu sebagai Addin.

“Umat Islam sama sekali jangan alpa, kerana ia secara langsung boleh menjerumuskan diri ke dalam perangkap musuh yang begitu licik untuk menjadikan kita lalai seterusnya terikut dengan budaya hidup mereka. Semoga erti Kemerdekaan disambut 31 Ogos ini menjadi titik bertemu bagi umat Islam terus kental berusaha dan bersama membela serta mempertahankan Malaysia yang kita cintai,” katanya. – OLEH: SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas