Berita

Pupuk budaya kitar semula – Mahadi

- Diterbit 13 Mac 2021 12:09 PM MYT

PELBAGAI jenis kempen serta program dilaksana untuk membudayaka amalan kitar semula dalam kehidupan rakyat, terutama di Kuala Lumpur, kota metropolitan pesat membangun, baik dari aspek bilangan penduduk mahupun ekonominya.

Fokus terhadap budaya hidup sihat, bersih dalam persekitaran hijau bukan sahaja dapat mengawal pencemaran bumi, malah mengurangkan kadar penghasilan sampah yang ketika ini sangat tinggi penjanaannya setiap hari.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah berkata, perkara tersebut merupakan salah satu faktor mendorong terhasilnya program Kios 1 Komuniti 1 Kitar Semula (1C1R) dilancar untuk menggiatkan kempen kitar semula dan menjaga kebersihan dalam kalangan warga kota.

Beliau berkata, walaupun terdapat pelbagai jenis kempen kesedaran pembudayaan amalan kitar semula setakat ini, namun sikap mencintai alam sekitar masih kurang memberangsangkan dalam kalangan rakyat.

“Justeru, Program 1C1R ini berkonsepkan sistem barter, barang-barang kitar semula yang dikumpul boleh ditukar dengan produk keperluan asas lain antaranya seperti gula, susu, tepung dan minyak masak, mengikut mata ganjaran yang diperolehi.

“Pendekatan diambil untuk menggalakkan warga kota menyertai kempen kitar semula seterusnya menyumbang kelestarian alam sekitar,” katanya dalam program Kios 1C1R di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam, Sungai Besi, di sini.

Kewujudan kios 1C1R adalah sebahagian usaha proaktif diambil DBKL yang selari Pelan Tindakan Kuala Lumpur Bersih Indah dimulakan di PPR Seri Alam sebelum diperluas ke kawasan lain sebagai galakkan kepada komuniti mengamalkan budaya kitar semula di samping menjana ekonomi.

Dalam pada itu, Mahadi menjelaskan, Kios 1C1R turut dilengkapi kemudahan aktiviti kitar semula dan seunit mesin kompos bagi memproses sisa pepejal hasil kerjasama DBKL dengan pihak Alam Flora Sdn Bhd.

Selain itu katanya, Program 1C1R turut dijalankan secara pandu lalu di PPR dan Perumahan Awam (PA) secara berkala yang dijadualkan setiap dua kali dalam sebulan.

“Jadi, objektif kita ialah Kios 1C1R ini berperanan sebagai kios statik membudayakan kitar semula dengan pemberian insentif dalam bentuk barang keperluan asas kepada komuniti setempat bagi setiap sisa buangan yang dikitar semula.

“Program ini juga adalah sebahagian dari Inisiatif Program Wilayah Prihatin kerana kadar tukaran barang asas oleh komuniti secara puratanya, 40 peratus ditanggung DBKL Jadi ia meningkatkan kesedaran awam berkenaan amalan kitar semula di rumah dan menggalakkan pengasingan sisa yang boleh dikitar semula,” katanya.

Dalam pada itu, kata Mahadi, kadar pengeluaran sampah yang tinggi ketika ini telah menyebabkan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Kuala Lumpur makin mencabar, menyumbang kepada kos yang tinggi.

Menurutnya, kos pengurusan sisa pepejal serta pembersihan ketika ini telah menjangkau hingga 25 peratus daripada jumlah belanja diperuntukan oleh DBKL.

“Jumlah dibelanjakan ini secara purata dianggar mencecah RM240 juta setahun. Kos ini termasuk caj perkhidmatan kutipan sampah, pembersihan awam, kos membayar tipping bagi pusat transit di Taman Beringin dan bayaran tipping pelupusan sampah di Bukit Tagar.

“Penghasilan sampah yang banyak ini bukan saja perlukan belanja yang besar, malah makin banyak sampah dijana, semakin tinggi tahap pelepasan karbon monoksida di udara, berpotensi memberi kesan kepada perubahan iklim,” katanya. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas