Berita

Proklamasi darurat mula tunjuk hasil- Annuar

- Diterbit 13 Mac 2021 10:05 AM MYT

PERISYTIHARAN Proklamasi Darurat yang berkuatkuasa sejak 12 Januari lalu bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 telah menunjukkan hasil yang positif sekaligus menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa ia menjadi senjata politik kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengekalkan kuasa.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, ordinan darurat yang dilaksanakan bertujuan untuk mengekalkan kestabilan politik supaya kerajaan lebih fokus dalam menangani wabak pandemik tersebut.

“Proklamasi darurat yang berkuatkuasa mempunyai jangka masa tertentu hanya kira-kira enam hingga tujuh bulan sahaja.

“Ia khusus untuk memudahkan kerajaan bekerja dalam suasana yang terbaik untuk
memerangi pandemik COVID-19 tanpa campur tangan politik dan karenah birokrasi.

“Dibawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, peraturan dan undang-undang dapat digubal dalam masa yang cepat dan pantas sesuai dengan keperluan negara dalam menghadapi ancaman COVID-19,” katanya dalam sidang media selepas Program Walkabout di Floria Putrajaya hari ini.

Annuar turut membidas sesetengah ahli politik yang memberikan gambaran negatif mengenai Perisytiharan Proklamasi Darurat.

“Ini ramai yang tidak faham kerana bagi sesetengah orang, darurat hanya dilihat dari sudut politik sahaja, apabila darurat (dilaksanakan) hendak mematikan demokrasi dan sebagainya.

“Bagi orang yang ikhlas, mereka melihat darurat ini buat pertama kali ia mempunyai jangka masa tertentu bagi memudahkan urusan kerajaan untuk menguruskan masalah COVID-19,” katanya.

Annuar turut memberitahu, negara kini dilandasan yang tepat setelah pelaksaan Proklamasi Darurat menunjukkan hasil yang positif.

“Secara keseluruhan dan dalam keadaan sukar, kerajaan telah melakukan tindakan yang baik dan sekarang kita telah dapat melihat hasilnya, hatta perang melawan COVID-19 sudah mula menuju ke arah kemenangan mutlak.

“Angka makin menurun, pelan imunisasi kebangsaan telah dimulakan dan kita mula beri roll out dan rakyat sudah pandai menjaga diri sendiri dan komuniti memainkan peranan dan ini adalah kejayaan,” katanya.– AZLAN -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas