Berita

Putrajaya bakal dibangunkan Bandar Rekreasi bertaraf antarabangsa-Annuar

- Diterbit 13 Mac 2021 1:08 PM MYT

PUTRAJAYA bakal dibangunkan sebagai Bandar Rekreasi bertaraf antarabangsa tanpa menukar karektornya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa.

Annuar berkata, bagi mencapai matlamat itu, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sedia untuk berbincang dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) dan pihak swasta demi memajukan pembangunan Putrajaya untuk tempoh 25 tahun akan datang agar lebih banyak peluang perniagaan diwujudkan.

“Buat masa ini, karakter Putrajaya adalah aktiviti penuhnya hanya ada pada waktu pejabat dan selepas itu, tiada sebarang aktiviti berlaku. Manakala pada hari minggu, tiada sebarang aktiviti dan ia mati,”

“Jadi kita mahu ubahsuai keadaan itu dan dengan cara itu, ia dapat membuka peluang pekerjaan dan pelaburan supaya orang ramai akan datang dan menetap disini,” katanya dalam sidang media selepas Sesi Walkabout di Floria Putrajaya hari ini.

Menurut Annuar, pihaknya akan membuat semakan semula peranan PPj bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa supaya ia tidak sekadar mengekalkan apa yang ada, dalam masa sama merancang ke hadapan terutama berkaitan dengan elemen komersial.

“Sudah tentu kita tidak mahu Putrajaya menjadi seperti bandar raya yang lain yang sibuk, papan tanda iklan dimana-mana seperti bandaraya komersial yang lain.

“Kita akan kekalkan karakter Putrajaya yang sedia ada. Dengan skop pelancongan dan rekreasi adalah paling sesuai dan tiada satupun bandaraya di negara ini yang dilihat sebagai bandar rekreasi dan ia memerlukan perancangan yang rapi untuk menjadi bandar riadah yang bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, banyak sektor swasta takut untuk melabur di Purajaya kerana banyak syarat dan peraturan yang ditetapkan.

“Mereka beranggapan terlalu banyak ‘dont’s daripada do’s’ . Sedangkan jika mereka datang ke sini, mereka akan dapati banyak yang boleh dilakukan, cuma kena berikan isyarat yang betul kepada mereka,”

“Banyak infrastruktur yang nerkualiti tinggi dibangunkan di sini, kita cuma perlukan pelaburan daripada pihak swasta serta memberikan idea untuk dikembangkan bersama,” katanya. – AZLAN – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas