Berita

Pulau Pinang, Melaka dan Pahang paling patuh PKPB

- Diterbit 13 Mei 2020 12:59 PM MYT

PUTRAJAYA – Pahang, Pulau Pinang dan Melaka menjadi negeri yang mempunyai pematuhan tertinggi terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketiga-tiga negeri itu mencatatkan kadar pematuhan sebanyak 98 peratus manakala kadar pematuhan negeri paling rendah adalah 86 peratus.

“Secara puratanya, kadar pematuhan di seluruh negara berada pada tahap 95 peratus.

“Masih ada lima peratus tidak mematuhinya dan lima peratus daripada jumlah penduduk kita boleh dikatakan masih tinggi,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari.

Beliau memberitahu, pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan
70,237 pemeriksaan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) di seluruh negara.

Tambah Ismail Sabri, seorang individu telah ditahan di Selangor kerana gagal mematuhi SOP tersebut selepas fasa nasihat dan amaran berakhir semalam.

“Mungkin ini baru permulaan, seorang dikenakan (penangkapan). Saya percaya pihak polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja tidak patuhi SOP yang disediakan.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa tidak perlu untuk sesiapa ditahan dan dihadapkan ke mahkamah. Senang sahaja, patuhi SOP dan arahan pihak berkuasa,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas