Berita

PTPTN tingkat kesedaran menabung melalui SSPN, elak beban hutang

YUSOF Apdal (belakang, empat dari kiri) dan Ahmad Dasuki (belakang, tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada pelajar istimewa di Royale Chulan, Kuala Lumpur.
- Diterbit 13 Mei 2023 1:30 AM MYT

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini merangka pelan transformasi bagi meningkatkan kesedaran budaya menabung dalam kalangan masyarakat Malaysia bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak.

Sehubungan itu, pihak PTPTN amat mengalu-alukan semua pihak untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama yang lebih bersepadu bagi kepentingan negara dengan menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai pilihan utama untuk pemberian sumbangan dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara.

PTPTN berkata ia juga bagi mengurangkan tahap kebergantungan masyarakat terhadap pinjaman pendidikan yang akhirnya menyebabkan masa depan golongan muda terbelenggu dengan beban hutang selepas tamat pengajian.

“Simpan SSPN merupakan produk simpanan pendidikan yang menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia.

“Antara kelebihan produk ini ialah kadar dividen yang kompetitif, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih hingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, perlindungan takaful secara percuma dan simpanan dijamin kerajaan serta patuh syariah,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Tambahnya Simpan SSPN turut menawarkan pelbagai kempen yang menarik dan bagi memeriahkan sambutan hari raya pada tahun ini sedang berlangsung Kempen Cabutan WOW! Syoknya Raya.

“Kempen tersebut untuk pendeposit Simpan SSPN bermula 1 Mac hingga 31 Mei 2023 di mana hadiah wang tunai berjumlah hampir RM50,000 menanti 23 pemenang. Pembukaan akaun dan penambahan simpanan boleh dibuat melalui aplikasi myPTPTN dengan mudah, cepat dan selamat,” ujarnya

Dalam pada itu, PTPTN berkata sebagai agensi yang memperkasa agenda pendidikan tinggi negara, pihaknya sentiasa cakna dan prihatin dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan melalui program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

“Sempena Majlis Mesra Bersama Pelanggan 2023 baru-baru ini, PTPTN telah memberikan sumbangan CSR berjumlah RM10,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime kepada 20 orang pelajar istimewa,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas