Berita

Operasi Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan dinaik taraf

TERMINAL Feri Penumpang Antarabangsa Labuan kini lebih selesa.
- Diterbit 13 Mei 2023 2:00 AM MYT

PENGOPERASIAN Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan kini dalam proses penambahbaikan bagi keselesaan pengguna oleh pihak pengurusan baharu LDA Holding Sdn Bhd (LDAH).

Noor Halim

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Halim Zaini, beberapa perubahan telah dilaksanakan dengan mengutamakan aspek keselamatan, keselesaan termasuk dalam urusan penjualan tiket yang lebih teratur dan mesra pelanggan serta bilangan pelayaran yang lebih kerap bagi memenuhi permintaan pengguna khususnya pada musim perayaan.

“Dengan perubahan dan penambahbaikan ini diharapkan para pengunjung atau pelawat akan lebih teruja menggunakan pengangkutan laut menerusi Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan,” katanya kepada Wilayahku.

Halim berkata penambahbaikan tersebut mula dilaksanakan selepas pelantikan baharu Ahli Lembaga Pengarah LDAH baru-baru ini.

“Pihak kami telah berusaha dan berjaya menambah bilangan kekerapan bot laju penumpang dari Labuan ke Menumbok Labuan dan Sipitang semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

“Ia melibatkan lebih 34,000 pengguna yang keluar dan masuk melalui Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan sekali gus dapat mengelakkan kesesakan yang melampau,” ujarnya.

Di samping itu, pihaknya juga akan terus berusaha menyediakan kemudahan yang lebih baik sejajar dengan cita rasa pengguna dan keperluan semasa. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas