Berita

PTPTN bantu graduan jana pendapatan melalui GEMS

- Diterbit 4 Jun 2022 8:00 AM MYT

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menganjurkan Program Graduate Executive Marketer for Simpan SSPN Plus (GEMS) bagi membantu graduan yang merupakan peminjam PTPTN.

Ia merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) KPT-CAP (Career Advancement Programme).

Menurut jurucakap PTPTN, program tersebut adalah usaha kerajaan dalam menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran akibat wabak COVID-19.

“Melalui modul latihan yang diberikan, peminjam PTPTN dapat mempraktikkan ilmu keusahawanan sekali gus berupaya menjana pendapatan sendiri,” ujarnya ia turut mendapat kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai tanda cakna dan prihatin PTPTN sebagai tabung pendidikan utama negara terhadap peminjam PTPTN.

Tambahnya program tersebut ditawarkan kepada peminjam PTPTN yang bergraduat dalam bidang sastera tahun 2019 dan 2020.

“PTPTN telah mengenal pasti peminjam yang layak sebagai peserta GEMS berdasarkan syarat yang ditetapkan dan mereka akan menerima tawaran melalui e-mel mulai 1 Jun 2022.

“Peminjam perlu mengemas kini maklumat diri serta menjalani ujian psikometrik selewat-lewatnya 19 Jun 2022. Peminjam yang bergraduat dalam bidang sastera tahun 2019 dan 2020 tetapi tidak menerima tawaran melalui e-mel, boleh membuat semakan kelayakan di https://www.ptptn.gov.my/program-gems/ mulai 1 Jun 2022 sehingga 19 Jun 2022,” katanya.

Dalam masa yang sama, peserta program akan diberikan latihan komprehensif secara dalam talian oleh pensyarah UMK selama 16 hari sebelum memasarkan produk Simpan SSPN Plus dan akan diselia oleh seorang mentor yang terdiri daripada pegawai PTPTN.

“Pelbagai kelebihan akan diperoleh menerusi Program GEMS antaranya elaun bulanan untuk tempoh 12 bulan, perlindungan takaful berkelompok percuma (untuk tempoh 12 bulan), berpeluang menerima komisen atas jualan produk yang berjaya, tanpa modal perniagaan dan waktu kerja fleksibel, sokongan pemasaran berterusan melalui latihan serta bimbingan dan banyak lagi,” jelasnya usaha ini bukan sahaja dapat menjana pendapatan malah mampu meningkatkan ilmu literasi kewangan serta kesedaran penabungan dalam kalangan graduan peminjam PTPTN. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas