Berita

MAIWP agih bantuan Syawal RM1.9 juta

MARZUK (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada penerima Anugerah Ikon Asnaf 2022, Saiyidatul Syahirah (empat dari kanan) pada Majlis Tautan Aidilfitri Bersama Asnaf di Dewan Arena Bukit Kuda, baru-baru ini. MARZUK (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada penerima Anugerah Ikon Asnaf 2022,
- Diterbit 4 Jun 2022 7:00 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan telah mengagihkan bantuan bernilai RM1.9 juta kepada 3,952 asnaf menerusi Skim Bantuan Aidilfitri pada Ramadan lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, MAIWP juga telah mengagihkan Bantuan Pakaian dan Peralatan Persekolahan bernilai RM1.9 juta kepada 5,770 pelajar di Labuan.

“Bantuan lain yang disalurkan baru-baru ini juga adalah bantuan Membina dan Membaiki Rumah. Bermula Januari hingga Mei tahun ini sebanyak RM476,480 telah disalurkan bagi membina 14 buah rumah asnaf yang layak.

“Saya menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak MAIWP yang sentiasa mengambil berat untuk membantu umat Islam yang ada di Labuan,” katanya ketika berucap di Majlis Tautan Kasih Aidilfitri Bersama Asnaf di Dewan Arena Perbadanan Labuan di Bukit Kuda, baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail dan Pengurus MAIWP Labuan, Md Fadzli Md Saad.

Pada masa sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Ikon Asnaf 2022 kepada Saiyidatul Syahirah Jasney iaitu pengusaha Sambal Humey yang dahulunya merupakan asnaf. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas