Berita

Proses ibu hamil terima vaksin mula hujung minggu di KL, Perlis

SEBANYAK 3,000 janji temu telah dikeluarkan kepada ibu hamil di Kuala Lumpur dan 224 lagi Perlis, pada minggu lepas. Kredit foto oleh: Berita Harian SEBANYAK 3,000 janji temu telah dikeluarkan kepada ibu hamil di Kuala Lumpur dan 224 lagi Perlis, pada minggu lepas. Kredit foto oleh: Berita Harian
- Diterbit 21 Jun 2021 7:49 AM MYT

PROSES pemberian vaksin COVID-19 kepada ibu hamil akan dimulakan hujung minggu ini di Kuala Lumpur dan Perlis, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, daripada 98,166 permohonan diterima Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), sebanyak 3,000 janji temu telah dikeluarkan kepada ibu hamil di Kuala Lumpur dan 224 lagi Perlis, pada minggu lepas.

“Kita akan keluarkan lagi janji temu secara berperingkat mengikut jangkaan tarikh bersalin (EDD). Negeri-negeri lain sedang diproses dan ia mengikut keutamaan EDD,” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini hari ini, bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan pemberian vaksin Pfizer-BioNTech kepada ibu hamil dengan usia kandungan antara 14 hingga 33 minggu, dan mereka perlu mendapatkan nasihat doktor serta pakar masing-masing bagi mengetahui risiko daripada proses vaksinasi.

Khairy berkata CITF juga telah meluluskan 5,621 permohonan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 daripada pelajar yang ingin menyambung pengajian ke luar negara.

“Setiap permohonan diterima akan diproses secepat mungkin, iaitu sebelum mereka bertolak ke luar negara,” katanya serta menambah pelajar boleh permohonan melalui email di [email protected].

Dalam pada itu, Khairy berkata sebanyak 782 fasiliti kesihatan melibatkan pengamal perubatan swasta telah beroperasi sejak 3 Mei lepas, dengan kemampuan memberikan suntikan sebanyak 93,358 sehari.

“CITF akan terus gunakan khidmat pengamal perubatan swasta untuk usaha vaksinasi, seperti vaksinasi bergerak bersama badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Khairy memaklumkan fasa tiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula hari ini di Kuala Lumpur, dilaksanakan selepas mengambil kira 99 peratus warga emas di lokasi tersebut telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Walaubagaimanapun, warga emas akan terus diletak dalam senarai keutamaan untuk suntikan vaksin sebaik mereka berdaftar,” katanya.

Semalam, Khairy berkata fasa tiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi Lembah Klang, akan bermula hari ini di pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas