Berita

Program Iqra’ TH plus sumbang RM500,000, bantu 500 pelajar asnaf hadapi SPM

- Diterbit 15 Ogos 2023 3:09 PM MYT

LEMBAGA Tabung Haji (TH) menyumbang sebanyak RM500,000 bagi membantu seramai 500 pelajar asnaf fakir dan miskin seluruh negara membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berkata berkata sumbangan itu disalurkan menerusi program Iqra’ TH plus kepada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), iaitu sebuah badan di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Program itu, katanya akan melibatkan yang melibatkan mahasiswa universiti sebagai tenaga sukarelawan bagi pelaksanaan program tuisyen intensif SPM.

“Program Iqra’ TH Plus ini merupakan inisiatif baru TH yang pertama kalinya diadakan pada tahun ini bagi membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik di samping membantu meringankan beban kewangan mereka.

Di harap dengan sumbangan, ia akan mendorong dan memberi motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, sekali gus menjadi pemangkin perubahan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Syed Hamadah, program akan menyasarkan pelajar daripada komuniti pedalaman di Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Labuan.

Tuisyen intensif itu, katanya akan memberi fokus kepada enam mata pelajaran teras SPM iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Pendidikan Islam.

Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Pengurus Besar Komunikasi Korporat TH Ahmad Shahriman Johari kepada Pegawai Eksekutif YSS Wong Kin Lun pada Ahad lepas, disaksikan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas