Artikel

Semua mula terasa kesan positif ekonomi

Gambar hiasan
- Diterbit 10 Mei 2024 9:15 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

BURSA Malaysia mencatatkan rekod baharu dengan permodalan pasaran ekuiti melebihi RM2 trilion pada Selasa 7 Mei baru-baru ini.

Menerusi hantaran di platform X, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak melepasi 1,600 mata pada pagi hari Selasa, buat pertama kali dalam tempoh dua tahun.

“Indikator di atas adalah bukti kekukuhan pasaran kita dan ekonomi Malaysia.

“Berdasarkan lebih 1,000 syarikat senaraian awam (jumlah tertinggi di rantau ASEAN) kami berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” menurut Bursa Malaysia.

Lapor BERNAMA, FBM KLCI pada 5 petang meningkat 0.52 peratus atau 8.29 mata kepada 1,605.68 daripada 1,597.39 ketika ditutup pada Isnin, sekali gus menjadi paras tertinggi bagi indeks utama sejak April 2022.

Indeks barometer yang dibuka 3.46 mata lebih tinggi kepada 1,600.85 itu bergerak di antara 1,600.66 pada sesi awal dengan setinggi 1,610.32 pada sesi petang.

Sehari dua sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan kerajaan untuk menyusun semula tangga gaji kakitangan perkhidmatan awam. Beliau menjangkakan gaji kakitangan awam akan naik melebihi 13 peratus mulai Disember tahun ini.

Disember dipilih kerana, Belanjawan 2025 akan dibentangkan Oktober dan dijangka akan diluluskan mulai November. Ini bermakna, pada Disember kakitangan perkhidmatan awam akan menikmati gaji baharu  selepas Dewan Rakyat dan Dewan Negara meluluskan belanjawan ini.

Di platform TikTok dan media sosial lain penuh dengan iklan jawatan kosong. Ia kebanyakannya diiklankan oleh jabatan-jabatan kerajaan.

DBKL, Petronas, Kementerian Pendidikan, Bomba, JKR, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan lagi mengiklankan jawatan kosong.

Ini bermakna badan-badan ini mendapat bajet untuk pengambilan kakitangan baharu.

Portal berita Majoriti dalam laporannya sebelum ini menyebut bahawa Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mencatatkan penurunan kadar ketidakpadanan pekerjaan graduan yang signifikan kepada 18.2 peratus untuk tahun 2023, berbanding 40.5 peratus pada tahun sebelumnya.

Pada masa sama, kadar pengangguran terkini negara dilihat semakin baik dan stabil pada kadar 3.3 peratus berbanding Mei 2020 iaitu pada kadar 5.3 peratus ketika negara dilanda wabak COVID-19.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi PERKESO mengumumkan penurunan sebanyak 22.3 peratus bagi graduan ditempatkan dalam kumpulan pekerjaan separa mahir dan berkemahiran rendah.

Ia merupakan hasil inisiatif berterusan agensi melalui Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan dengan sokongan Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs, dalam usaha menempatkan graduan di kumpulan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Projek yang dilaksanakan untuk menyediakan peluang pekerjaan dan pendapatan tambahan rakyat juga mula menunjukkan hasil.

Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) mula menunjukkan hasilnya apabila peserta projek ini memaklumkan pendapatan mereka meningkat berkali ganda selepas menyertainya.

Pendek kata semua ini adalah vibes atau berita positif yang rakyat negara ini mahu dengar.

Ketika dicanangkan dalam kempen pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu (KKB), kononnya rakyat negara ini terdesak sekarang, orang ramai sendiri merasakan betapa mereka sangat senang sekarang ini.

Dalam bulan Ramadan dan Syawal baru-baru ini, ketika umat Islam berpuasa dan menyambut hari raya, tidak terdengar lagi barangan keperluan hari raya tidak ada di pasaran dan harganya melambung.

Daging lembu segar dijual hanya RM30-35 sahaja sekilogram di Terengganu. Ayam, telur, minyak masak memenuhi pasaran.

Tiga tahun lalu, rakyat masih ingat bagaimana mereka berebut-rebut telur di kedai runcit dan pasar raya sehingga kerajaan ketika itu melancarkan jihad melawan inflasi. Namun, hanya kempen sahaja yang terdengar, harga barangan sendiri kekal tinggi bahkan sukar untuk diperolehi di pasaran.

Walaupun diakui oleh sesetengah pihak bahawa tahun ini adalah tahun sengsara, ekoran ekonomi dunia yang tidak menentu, namun di Malaysia orang ramai tidak terasa sangat dengan bahangnya.

Benar sekali kata sesetengah pihak, kerajaan yang ada ini bukan lagi berusaha menaikkan siling iaitu ekonomi negara tetapi juga menaikkan lantai atau ekonomi rakyat.

Ia berlaku apabila kerajaan berusaha membawa masuk pelaburan untuk menaikkan ekonomi negara manakala gaji penjawat awam, Akaun 3 KWSP dan projek rintis Dasar Gaji Progresif yang bakal dilaksanakan Jun ini akan memberikan manfaat langsung kepada rakyat.

Semoga Allah memberkati negara Malaysia yang bertuah ini.

Tulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian dan pandangan penulis.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas