Berita

PM berjiwa besar tidak sisihkan pembangunan negeri pembangkang

SIKAP berlapang dada dan berjiwa besar yang diamalkan Perdana Menteri membuka lembaran baharu politik negara yang mementingkan pembangunan saksama demi keadilan sejagat
- Diterbit 10 Mei 2024 8:35 AM MYT

PENDEKATAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembangunan seluruh negara termasuk di empat negeri yang dikuasai pembangkang menunjukkan sikap jiwa besar pemimpin Kerajaan Perpaduan itu dalam menguruskan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata perubahan ketara dalam Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran kini mengambil kira kepentingan rakyat yang memerlukan pembelaan.

“Pendekatan yang diamalkan oleh pimpinan-pimpinan kerajaan adalah memastikan setiap rakyat dibela dan mana-mana negeri mestilah dibantu termasuklah menyalurkan peruntukan dan pembangunan untuk kesejahteraan seluruh rakyat.

“Selain itu, ia selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang tidak mengabaikan rakyat meskipun negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dikuasai pembangkang kerana ia tetap mempunyai hubungan langsung dengan Kerajaan Persekutuan,” kata beliau ketika ditemui Wilayahku selepas Majlis Semarak Aidilfitri Bersama Media di Kuala Lumpur pada Selasa.

Jelas Zaliha sikap dan amalan jiwa besar yang ditunjukkan Perdana Menteri itu merentasi fahaman dan ideologi kepartian malah turut menyalurkan peruntukan besar dalam membantu menyelesaikan masalah legasi yang membelenggu negeri berkenaan berpuluh tahun lamanya.

“Ketika lawatannya ke Kelantan sebelum ini, beliau telah memperuntukkan sejumlah RM500 juta kepada negeri tersebut untuk membantu mengatasi masalah bekalan air bersih kepada rakyatnya.

“Perdana Menteri juga telah meluluskan peruntukan untuk menaik taraf landasan hingga 400 meter bagi memberikan penarafan antarabangsa terhadap Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang boleh merintis lebih banyak peluang ekonomi sekali gus dapat membantu rakyat di Kelantan.

“Malah lawatan di Kedah juga memberikan kesan positif dengan kelulusan banyak projek pembangunan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Tambah Zaliha, sudah pasti amalan berjiwa besar itu dipraktikkan bagi memastikan rakyat di negeri terbabit turut menikmati pembangunan yang sewajarnya.

Dalam pada itu, Zaliha menyeru kepada semua pemimpin politik yang bersama kerajaan mahupun memilih haluan berbeza untuk bersikap adil terhadap Perdana Menteri dengan tidak menyebarkan berita ke media sosial yang bersifat fitnah.

“Di dalam berpolitik, semua pihak mesti mengutamakan dan mengangkat nilai politik yang selari dengan kehendak Islam.

“Ia termasuklah sekiranya ada perkara baik yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri, semua pihak wajar menyatakan sokongan. Kita perlu tunjukkan kebaikan walaupun dengan musuh politik bukan dengan menceritakan perkara yang tidak wujud yang kemudian menjadi fitnah khususnya kepada Perdana Menteri,” katanya.

Ujar Zaliha, negara sebelum ini telah melalui episod malang apabila mempunyai kerajaan yang tidak stabil sehingga tidak ada pelaburan masuk ke Malaysia.

“Pelabur akan melihat dan menilai mengenai kestabilan politik, jika serangan dan fitnah terhadap Perdana Menteri ini tidak dihentikan, ia akan berpanjangan dan akan menyebabkan kerugian kepada rakyat dan negara,” katanya.

Beliau turut menyeru semua ahli politik pembangkang untuk mengamalkan politik matang dengan mengemukakan teguran secara baik dan membina serta meninggalkan amalan cacian dan hinaan terhadap mana-mana pihak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas