Berita

Program ‘Buku Bistro’ JaPen promosi bahan terbitan BPDN

PROGRAM 'Buku Bistro' JaPen promosi bahan terbitan BPDN. Kredit foto: JAPEN
- Diterbit 31 Mei 2022 5:53 AM MYT

JABATAN Penerangan (JaPen) melalui Bahagian Penerbitan Dasar Negara (BPDN) tampil dengan program ‘Buku Bistro’ bertujuan mempromosikan bahan terbitan agensi itu kepada warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

Ketua Pengarah Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid ketika ditemui Bernama pada program itu di kompleks K-KOMM di sini hari ini berkata ‘Buku Bistro’ membuka peluang kepada warga kementerian untuk melihat dan mendapatkan pengetahuan tambahan melalui koleksi buku terbitan BPDN.

“Terdapat banyak koleksi sejak 1960-an termasuk buku rasmi tahunan negara diterbitkan kali pertama pada 1969 dan yang diterbitkan setiap tahun. Ia satu peluang terbaik untuk melihat kembali sejarah negara selain memperoleh pengetahuan tambahan mengenai dasar dan ekonomi negara,” katanya.

Buat masa ini, program berkenaan adalah terhad kepada warga K-KOMM sahaja namun Mohd Sukari berkata terdapat cadangan untuk memperluaskan program sama kepada orang awam.

Katanya, bagi yang mahu mendapatkan maklumat tambahan mengenai dasar kerajaan dan perkara berkaitan, mereka juga boleh melayari Portal Dbook https://dbook.penerangan.gov.my/dbook/.

Portal Dbook adalah portal menempatkan koleksi bahan penerbitan yang dikeluarkan oleh JaPen dalam bentuk buku digital. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas