Berita

UNIRAZAK-JHEV ATM meterai MoU, pertingkat akses pendidikan anak veteran

INI adalah untuk membolehkan anak veteran dari golongan kurang berkemampuan mendapat pendidikan tinggi. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 31 Mei 2022 7:46 AM MYT

UNIVERSITI Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meningkatkan taraf pendidikan anak dari keluarga veteran yang kurang berkemampuan.

MoU bagi tempoh lima tahun itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif UNIRAZAK Amil Izham Hamzah dan Ketua Pengarah JHEV ATM Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad dengan disaksikan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hashim Abdul Aziz dan Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, di sini.

Ikmal Hisham dalam ucapannya berkata melalui MoU berkenaan, seramai 500 anak-anak veteran ATM lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang layak akan ditawarkan mengikuti Program Pengajian Asasi Sastera secara percuma setiap tahun dan pengambilan pertama akan memulakan pengajian pada Julai depan.

“Melalui MoU ini UNIRAZAK akan membiayai sepenuhnya yuran pengajian berjumlah RM12,500 bagi setiap pelajar manakala Yayasan ATM membiayai caj pentadbiran sebanyak RM100 setiap pelajar dengan kos keseluruhan dianggarkan berjumlah RM16 juta,” katanya.

Beliau berkata objektif MoU berkenaan adalah untuk membolehkan anak veteran dari golongan kurang berkemampuan mendapat pendidikan tinggi formal dan seterusnya memperoleh peluang kerja lebih baik bagi meningkatkan sosio ekonomi keluarga mereka.

“Pelajar yang berjaya menamatkan pengajian mereka di peringkat asasi ini kemudian boleh melanjutkan pengajian ke UNIRAZAK atau di universiti dan institut pengajian tinggi yang lain,” katanya.

Menurut Ikmal Hisham peluang yang ditawarkan kepada anak-anak veteran ATM berkenaan sangat luar biasa, menarik dan secara langsung melambangkan keprihatinan Kementerian Pertahanan terhadap kebajikan veteran ATM khasnya dalam skop peningkatan pendidikan anak-anak veteran ATM.

Dalam pada itu Ikmal Hisham turut berharap lebih banyak institusi pendidikan tinggi tempatan dan swasta menjalinkan kolaborasi dengan Kementerian Pertahanan agar lebih ramai anak-anak veteran dapat menikmati kemudahan serupa. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas