Berita

Rekod perkhidmatan perlu dijadikan asas penilaian rakyat – Kamarudin

KAMARUDIN Jaffar bersama sebahagian tetamu yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Keluarga Bandar Tun Razak 2022 di Auditorium Institut Latihan, DBKL. KAMARUDIN Jaffar bersama sebahagian tetamu yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Keluarga Bandar Tun Razak 2022 di Auditorium Institut Latihan, DBKL.
- Diterbit 31 Mei 2022 2:03 AM MYT

REKOD perkhidmatan sejak menjadi wakil rakyat bagi kerusi P124, Bandar Tun Razak perlu dijadikan asas oleh penduduk apabila  menilai prestasi kepimpinan setempat.

Ahli Parlimennya, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, aspek tersebut perlu diambil kira sebagai penting terutama dalam mengukur keberkesanannya menjadi wakil rakyat dan berkhidmat untuk warga masyarakat.

KAMARUDIN Jaffar bersama ahli keluarga, wakil parti Bersatu Bandar Tun Razak dan pegawai bergambar selepas menjamu selera.

Beliau berkata, sejak mula terpilih sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak pada 2018  gerak kerja dilaksana lebih tertumpu untuk berdampingan dengan rakyat dari pelbagai lapisan yang berbeza aspek keperluannya.

Disebabkan itu, katanya usaha mendekati rakyat khususnya tempoh lebih dua tahun penularan COVID-19 telah memberikannya peluang dan kesempatan secara langsung untuk berkhidmat demi membantu rakyat.

“Walaupun belum jelas senario Pilihanraya Umum (PRU-15) akan datang, tetapi saya berkeyakinan sejak berdampingan dengan rakyat serta pengundi selama berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di sini, rakyat faham dan menghargainya.

“Khidmat bantuan sama ada aspek sosial penduduk di kawasan lock down mahupun bantuan umum seperti pemberian bakul makanan, peralatan dan perubatan kepada warga selain institusi sekolah, masjid dan lain-lain dibuat selama pandemik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media di  Rumah Terbuka Aidilfitri Keluarga Bandar Tun Razak di Institut Latihan DBKL, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

ANTARA wakil Persatuan Wanita turut bergambar bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar ketika majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Keluarga Bandar Tun Razak 2022.

Majlis bermula 11 pagi sehingga 3 petang menghidangkan beraneka juadah dihadiri lebih 8,000 warga sambil turut berpeluang beramah mesra dengan Kamarudin yang juga Timbalan Menteri Luar Malaysia.

Sementara itu, mengulas mengenai PRU-15 Kamarudin kini mewakili Bersatu berkata, persiapan khusus untuk pilihan raya hanya dilakukan apabila tiba masanya.

Namun, secara umum katanya, berlandas pengalamannya beberapa kali menjadi Ahli Parlimen, persiapannya seolah-olah PRU itu akan berlangsung pada bila-bila masa.

“Saya yakin rakyat mengenali, menghargai  bakti selama tempoh khidmat saya di sini
seterusnya mereka akan tunjukkan ketika mengundi dengan berlandaskan trek rekod perkhidmatan yang saya berikan,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas