Berita

PPj serah 11 produk produk kesihatan ke sekolah

AMINUDDIN (tiga kiri) pada majlis penyerahan produk kesihatan.
- Diterbit 3 Julai 2020 5:32 AM MYT

SEBANYAK 110 botol  cecair pembasmi kuman atau ‘hand sanitizer’ beserta kotak topeng pelitup muka dan 11 termometer akan diagihkan Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk kegunaan 11 buah sekolah menengah di sekitar Putrajaya.

Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim ketika menyempurnakan majlis penyerahan itu berkata, inisiatif dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Putrajaya melalui Pelan Tindakan Blueprint Masyarakat Sejahtera 2018-2022, dilaksana bagi meningkatkan lagi kesedaran pelajar dan warga sekolah mengenai pentingnya untuk menjaga keselamatan dan kesihatan.

“Program ini bertujuan membantu pengurusan sekolah membuat persediaan dari seawal dua minggu sebelum pembukaan sesi persekolahan sebagai langkah memerangi penularan Covid 19.

“Di samping itu, usaha ini diharap dapat mendidik masyarakat Putrajaya untuk mengamalkan nilai-nilai murni dan mematuhi normal baharu dalam kehidupan seharian,” katanya sempena Program Kesedaran Norma Baharu Pelajar Putrajaya yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 18(1).

Turut hadir Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar, PPj, Datuk Azizi Ahmad Termizi dan Pengarah Jabatan Pendidikan WP Putrajaya, Farizah Ahmad.

Sementara itu, Aminuddin turut menjelaskan, PPj dengan kerjasama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Alam Flora serta Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya, juga telah melaksanakan sanitasi awam secara bersepadu di beberapa lokasi termasuk tadika dan sekolah di Putrajaya. – WILAYAHKU

Oleh: SYAHIDI BAKAR

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas