Berita

Elena Goh lapor diri bulan ini

ELENA fokus tingkatkan latihan.
- Diterbit 3 Julai 2020 6:31 AM MYT

ATLET jalan kaki wanita negara, Elena Goh Ling Yin, 24, bakal memulakan latihan sepenuh masa di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) bermula 5 Julai ini.

“Saya akan mula melapor diri di kem atlet Bukit Jalil awal bulan depan setelah sekian lama berehat ekoran penularan wabak Covid-19 yang melanda negara,” ujarnya kepada Wilayahku.

Biarpun tiada sebarang kejohanan yang dijadualkan pada tahun ini, namun atlet Wilayah Persekutuan ini tetap bersemangat untuk memulakan latihan.

“Saya akan berbincang dengan jurulatih apabila memulakan latihan kelak berkenaan hala tuju dan perancangan memandangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memaklumkan tiada sebarang kejohanan di Malaysia tahun ini.

“Pun begitu, kesempatan yang ada ini akan digunakan sebaik mungkin untuk mempersiapkan diri menjelang tahun hadapan. Sudah pasti saya ingin memberikan aksi yang terbaik apabila beraksi
kelak,” ujarnya.

Bakal menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sains Sukan di Universiti Malaya hujung tahun ini, Elena berhasrat untuk mencari pekerjaan yang stabil untuk masa
hadapannya.

“Saya ingin mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan dan seterusnya membina karier yang saya impikan selama ini. Dalam masa yang sama, jika tiada sebarang halangan, bidang
sukan tetap akan diteruskan seperti biasa,” ujar Elena.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas