Berita

PPj perkenal pas bulanan tanpa had

ZALIHA ketika merasmikan Pelancaran Kad NADI30 dan NADI10 Bas Nadi Putra Putrajaya dalam Majlis Aspirasi 2024: Bersama Memacu Wilayah Persekutuan Sejahtera di Putrajaya
- Diterbit 8 Mac 2024 9:25 AM MYT

PIHAK Perbadanan Putrajaya (PPj) memperkenalkan inisiatif kad Nadi30 dan Nadi10 yang merupakan pas bulanan perjalanan tanpa had untuk pengguna perkhidmatan bas Nadiputra di sekitar Putrajaya.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, pengenalan dua kad yang dilancarkan baru-baru ini merupakan inisiatif pihak PPj untuk menggalakkan orang awam menggunakan perkhidmatan bas Nadiputra sebagai pilihan pengangkutan awam di Putrajaya.

“Kad Nadi yang diperkenalkan ini terbahagi kepada dua jenis iaitu Nadi30 dan Nadi10.

“Kad Nadi30 adalah bernilai sebanyak RM30 sebulan yang mana dikhususkan kepada semua pengguna kecuali warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan pelajar sekolah.

“Untuk kad Nadi10 pula bernilai hanya RM10 sebulan dan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu warga emas, OKU serta pelajar sekolah menengah dan rendah.

“Pengenalan kad ini adalah satu daripada inisiatif di bawah Putrajaya Model Bandar Rendah Karbon 2030 yang mana ia bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada kenderaan awam khususnya kenderaan persendirian,” ujarnya.

Dalam masa sama, Zaliha berkata pas bulanan itu turut memberi jaminan penjimatan perbelanjaan tambang secara bulanan khususnya kepada pengguna tetap perkhidmatan bas Nadiputra.

“Seterusnya, ia juga dilaksanakan bagi memberi peluang kepada orang awam untuk berurusan dan bersiar-siar di sekitar Putrajaya dengan tambang tanpa had,” tambah beliau.

Sementara itu, Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata maklumat lanjut dan permohonan kad tersebut boleh dibuat secara dalam talian melalui portal www.ppj.gov.my.

Beliau berkata setiap individu hanya boleh memiliki satu kad dan kad yang dimohon akan dihantar ke alamat seperti yang tertera di borang permohonan.

“Kad tersebut yang hanya dikhususkan untuk warganegara dijangka boleh mula digunakan pertengahan bulan ini selari dengan pembukaan sekolah penggal baharu,” ujarnya kad itu hanya boleh digunakan oleh warga tempatan dan tidak sah bagi warga asing. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas