Berita

SST bawa manfaat bukan bebankan rakyat

Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 8 Mac 2024 9:20 AM MYT

PADA 1 Mac lalu, kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ditetapkan 8.0 peratus berbanding 6.0 peratus sebelum ini. Pelbagai reaksi di laman sosial berkenaan penetapan tersebut. Ada yang mendakwa kerajaan sengaja menaikkan SST untuk kepentingan sendiri.

Jika dikaji secara mendalam kebaikannya, pelaksanaan SST dijangka meraih hasil tambahan sebanyak RM3 bilion kepada negara sekali gus membolehkan kerajaan terus menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Bagi memudahkan rakyat mengecapi pelbagai kemudahan, maka SST merupakan jalan terbaik kerana perolehan melalui pelaksanaannya dapat meningkatkan bantuan bersasar kepada golongan memerlukan.

Ia turut diakui Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di mana pelaksanaan SST membolehkan banyak penambahbaikan dan penyelenggaraan terhadap prasarana awam seperti sekolah, kesihatan dan jalan raya.

“Asas cukai perlu diperluas demi memperkukuh asas fiskal negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan sepertimana digariskan di bawah kerangka Ekonomi Madani.

“Kerajaan turut giat merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi melaraskan semula trajektori ekonomi negara merangkumi amalan perbelanjaan yang berhemat, mengurangkan ketirisan serta menarik pelabur langsung asing (FDI),” katanya.

Dalam masa yang sama, perluasan SST bagi menyelaras dan memberi layanan cukai sama rata ke atas perkhidmatan tertentu dalam industri yang sama.

Sebagai contoh pusat karaoke yang berunsur hiburan akan dikenakan SST sebanyak lapan peratus, sama seperti pusat hiburan lain merangkumi kelab malam, dewan tari menari, kabaret dan pusat kesejahteraan.

Perkhidmatan broker dan penajajaminan, yang kini hanya dikenakan kepada perkhidmatan kewangan sahaja, akan diperluas kepada perkhidmatan-perkhidmatan industri broker lain seperti broker kapal atau kapal terbang, komoditi dan hartanah.

Namun, peningkatan kadar SST itu tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat di negara ini.

Antaranya makanan dan minuman, parkir kenderaan dan telekomunikasi selain perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman, SST tidak akan dikenakan.

Diharapkan rakyat tidak terlalu gusar dengan peningkatan ini memandangkan banyak manfaat yang akan diterima kelak dalam bentuk tunai selain penjagaan kesihatan yang merupakan nikmat paling utama dalam kehidupan.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kenaikan tersebut tidak akan membebankan rakyat kerana sistem percukaian yang ditambah baik itu tidak melibatkan perkhidmatan penting. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas