Berita

Polis buka kertas siasatan video ‘Perhimpunan Selamatkan Malaysia’

ALLAUDEEN Abdul Majid.
- Diterbit 13 September 2023 5:40 AM MYT

POLIS telah membuka satu kertas siasatan membabitkan video ke atas kes berhubung ‘Perhimpunan Selamatkan Malaysia’.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata pada Isnin lalu kira-kira pukul 8.30 pagi, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah menerima satu laporan polis berkenaan satu paparan klip video di laman media sosial TikTok oleh seorang individu.

Katanya, menerusi video itu, individu tersebut menyeru orang ramai untuk turun berhimpun di sekitar sebuah pusat beli-belah di ibu negara, pada 16 September ini.

“Justeru itu, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Dang Wangi, telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini sebanyak lima laporan polis telah diterima berkenaan paparan klip video tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, pihak polis telah mengambil keterangan dua orang individu bagi membantu siasatan manakala empat orang lagi individu akan diambil keterangan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan apa-apa perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

“Tindakan juga akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat,” ujarnya. – WILAYAHKU – SYED HAZIQUE

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas