Berita

POD 2023 dijangka tarik kunjungan pelancong ke Putrajaya

SEKITAR kemeriahan POD 2019 lalu.
- Diterbit 3 Mac 2023 3:07 AM MYT

BAGI memperingati ulang tahun penubuhan Perbadanan Putrajaya (PPj) yang ke27 pada tanggal 1 Mac, pihak PPj menganjurkan Hari Terbuka Putrajaya (POD) 2023 bermula 2 hingga 5 Mac bertempat di Kompleks PPj, Presint 3, Putrajaya.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata objektif penganjuran POD 2023 adalah bagi meningkatkan urban governance juga sistem penyampaian PPj dan semua kementerian serta agensi yang mengambil bahagian menerusi kaunter khidmat pelanggan masing-masing.

“Selain itu, program ini dilaksanakan dengan konsep persepakatan di antara agensi awam, swasta, warga komuniti setempat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

“Bukan itu sahaja, kami juga memberi peluang ekonomi kepada lebih kurang 200 peniaga dan penjaja kecil serta memanfaatkan penggiat industri seni dan kreatif yang mengambil bahagian dalam jualan kraf tangan di Laman Seni serta persembahan untuk menjana pendapatan mereka yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19,” ujarnya kepada Wilayahku.

Menurut Fadlun, tarikan utama penganjuran POD pada tahun ini adalah sebanyak 58 kementerian dan agensi dihimpunkan bagi memberi perkhidmatan kepada orang awam, pemegang taruh dan rakan strategik.

“Program ini turut menyediakan maklumat, produk pelancongan, kesenian, kebudayaan dan kraf tangan kepada pengunjung yang hadir dengan kerjasama Tourism Malaysia, Kraftangan Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia. Lebih menarik, pihak Tourism Malaysia juga akan membawa bersama jualan diskaun tiket-tiket syarikat penerbangan semasa.

“Pengunjung yang hadir boleh mendapatkan diskaun sehingga 50 peratus bagi saman terpilih seluruh negara daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Malah pihak kami juga akan mengadakan Kempen Jom Bayar Kompaun/Saman dengan kadar RM10 (kompaun) dan RM30 (bayaran saman) tertakluk kepada terma dan syarat,” tambah beliau pihaknya juga telah menyediakan tempat parkir kereta percuma di sekitar Kompleks PPj pada Khamis dan Jumaat selepas pukul 6 petang manakala pada Sabtu dan Ahad adalah percuma.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Pameran Hartanah Putrajaya juga akan diadakan dan diharap dapat membantu orang awam yang ingin membeli hartanah di Putrajaya mengetahui maklumat dan tawaran hartanah Putrajaya.

“Pengunjung akan disajikan dengan 114 bazar jualan yang menawarkan pelbagai jenis produk antaranya beauty and wellness; baby and kids; lifestyle and services (travel); fashion and accessories; food and beverages (F&B) dan back to school. Kami juga menyediakan 68 buah reruai F&B dari pelbagai negeri.

“Di samping itu, turut diadakan Animal Lovers Showcase melibatkan kucing-kucing luar negara; Pameran Pencapaian PPj (Wall of Fame); Pameran Aset PPj; Pameran Aset Agensi Kerajaan; Kempen Kitar Semula; Pelancaran Kad Diskaun Istimewa Bas Nadiputra; Pelancaran Sistem OSC 4.0; Sistem Coins 2.0; E-lesen PPj dan Pelancaran Dokumen Blueprint Pelancongan Putrajaya 2032 sebagai daya tarikan kepada pengunjung,” ujar beliau.

Fadlun berharap POD 2023 dapat meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan PPj, kementerian dan agensi awam yang mengambil bahagian; merapatkan lagi kerjasama dan engagement antara kerajaan dan rakyat; merancakkan sektor pelancongan dan membantu menjana pendapatan golongan peniaga kecil, penggiat industri pelancongan dan industri hartanah Putrajaya daripada aktiviti-aktiviti ekonomi yang diadakan sepanjang program berlangsung.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari media sosial Facebook @Perbadanan Putrajaya; Twitter @putrajayacorp; Instagram, YouTube dan TikTok @perbadananputrajaya serta melalui laman sesawang PPj di www.ppj.gov. my. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas