Berita

Jom sertai Program Kayuhan Ceria, hadiah RM15,000 menanti

PENGGEMAR aktiviti berbasikal tidak melepaskan peluang menyertai Program Kayuhan Ceria yang diadakan ketika POD 2019 lalu.
- Diterbit 3 Mac 2023 3:12 AM MYT

PIHAK Perbadanan Putrajaya (PPj) menjemput semua penduduk di seluruh negeri untuk menyertai Program Kayuhan Ceria yang akan berlangsung pada 4 Mac ini bertempat di Kompleks PPj, Presint 3, Putrajaya.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komuniti Dan Sukan PPj, Mohamad Sujairi Mohd Ishak, program yang bermula pada pukul 7 pagi itu diadakan bertujuan untuk menggalakkan dan mempromosi budaya sihat dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi program riadah dan sukan.

“Program tahunan ini juga merupakan platform kepada penggemar sukan berbasikal seluruh Malaysia untuk mengenali laluan yang memaparkan keindahan, keunikan seni bina serta tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar Putrajaya.

“Para peserta boleh memilih dua jarak laluan iaitu 15 kilometer (km) dan 5km yang akan bermula di Kompleks PPj. Penyertaan adalah terbuka kepada semua yang berminat termasuklah warga komuniti dan juga agensi di Putrajaya,” ujarnya kepada Wilayahku.

Tambahnya, selain daripada mengamalkan gaya hidup sihat, penganjuran acara ini juga diharap dapat memperkukuhkan interaksi sosial dan persefahaman antara komuniti Putrajaya.

Lebih menarik, Mohamad Sujairi memaklumkan peserta turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa wang tunai berjumlah RM15,000.

“Buat masa ini, jumlah penyertaan yang diterima adalah lebih daripada 1,000 peserta. Saya amat berterima kasih kepada mereka yang sudi meluangkan masa untuk terlibat sama bagi menjayakan program ini.

“Saya berharap acara ini dapat mengukuhkan persepakatan PPj dengan warga komuniti dan pemegang taruh Putrajaya serta menjadi medium terbaik untuk menambah elemen ceria dan kemeriahan,” ujarnya acara tersebut merupakan salah satu inti pati Program POD 2023. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas