Berita

YWP bakal bangkit atasi kekecewaan

61 orang Atlet YWP bergambar kenangan di hadapan Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching, Sarawak semasa Majlis Perasmian PESAYA-14 pada 11 Februari lalu.
- Diterbit 3 Mac 2023 2:55 AM MYT

SETELAH 10 hari berlangsung, Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia ke-14 (PESAYA-14) secara rasminya melabuhkan tirai dengan menyaksikan kontinjen Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berjaya membawa pulang dua pingat menerusi sukan boling wanita.

Ketua Kontinjen YWP, Mohd Farhan Azhari berkata meskipun ia tidak menepati sasaran YWP untuk membawa pulang satu pingat emas dan satu pingat perak namun pencapaian itu tetap membanggakan serta menjadi pembakar semangat kepada setiap atletnya untuk membuat persediaan terbaik bagi menghadapi PESAYA akan datang.

“Selaku pengurus kontinjen, saya amat berpuas hati melihat kesungguhan dipamerkan oleh pemain-pemain pada setiap kategori sukan yang disertai. Walaupun banyak sukan terkandas di peringkat kumpulan, namun mereka telah bertungkus-lumus mahu memberikan yang terbaik untuk YWP.

“Kita tidak boleh salahkan mana-mana pihak sekiranya ia tidak berjaya menepati sasaran yang
telah dinyatakan sebaliknya kita perlu memuji kesungguhan para atlet terlibat termasuklah permainan yang telah menyumbang mata kepada YWP.

“Antaranya pemain boling wanita, Zity Nabilah Mohd Nadzri berjaya menyumbang dua mata kepada YWP dengan meraih pingat perak dalam kategori perseorangan dan gangsa bagi kategori master serta pasukan futsal wanita juga turut menyumbang mata di tempat keempat,” katanya kepada Wilayahku.

Dalam pada itu, Farhan berkata bagi mengubati kekecewaan di PESAYA-14, pihaknya akan melakukan persediaan lebih awal dari segi pemilihan pemain, latihan termasuk pendedahan tentang teknik permainan sebenar agar pasukan YWP lebih bersedia menghadapi sukan PESAYA-15 yang akan berlangsung di negeri Kelantan pada tahun 2025 nanti.

Terdahulu, PESAYA-14 telah berlangsung selama 10 hari bermula 10 Februari hingga 19 Februari lalu di Kuching, Sarawak dan menyaksikan negeri tuan rumah, Sarawak menjadi johan keseluruhan bagi kejohanan sukan tersebut dengan pungutan pingat sebanyak 12 emas, sembilan perak dan tiga gangsa manakala Sabah berada di tangga kedua dan Johor di tempat ketiga. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas