Berita

PM saran semua PBT contohi DBKL

ISMAIL (tengah) menyaksikan penyerahan perjanjian tanah Taman Tugu oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah Warisan Negara (AWAN) Tan Sri Zarinah Anwar pada Ahad.
- Diterbit 11 Jun 2022 12:00 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara mencontohi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam mengutamakan dasar Net Zero Carbon 2050 di ibu kota.

Katanya, ia merupakan komitmen negara untuk mengatasi cabaran perubahan sejagat dan ia perlu disambut melalui pelan dan dasar negara menerusi Strategi Rancangan Malaysia ke-12 yang menyasarkan ‘Negara Sifar Karbon’ menerusi pembangunan di sektor tenaga, pengangkutan, industri pemprosesan dan penggunaan produk, pengurusan sisa, pertanian, dan penebusan semula guna tanah.

“Usaha ini diselaraskan dengan Pelan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia ke arah menjadikan Malaysia Lestari 2030 yang berteraskan pengukuhan tadbir urus, pertumbuhan hijau kolaborasi strategik dan keterangkuman sosial.

“Selain itu, agenda hijau juga perlu disemai di peringkat pentadbiran kerajaan tempatan dengan mencontohi DBKL yang mengumumkan aspirasi Kuala Lumpur sebagai bandar raya Net Zero Carbon menjelang tahun 2050,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Menurut Ismail, pelan dan dasar yang telah dinyatakan itu turut digembleng bersama-sama dengan sektor korporat dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLICs) di bawah Rangka Kerja dan Sasaran Kemampanan Perniagaan berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Antara badan korporat yang terlibat adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menyasarkan portfolio pelaburan full ESG compliant menjelang tahun 2030 dan pelepasan GHG sifar pada tahun 2050.

“Selain itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) turut menyasarkan peruntukan modal baharu berjumlah RM10 bilion untuk pelaburan aset hijau menjelang tahun 2030,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Bursa Malaysia di bawah Bajet 2022 akan mewujudkan Voluntary Carbon Market dan pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik juga disediakan bagi merancakkan agenda ekonomi hijau di Malaysia.

Tambahnya, Dana Amanah Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (MySDG Trust Fund) diwujudkan dengan peruntukan RM20 juta sebagai permulaan bagi menyokong program Kerajaan berorientasikan Matlamat Pembangunan Lestari di seluruh negara menerusi pentadbiran secara bersama Kementerian Kewangan dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas