Berita

Datuk Fadlun dilantik Presiden Perbadanan Putrajaya

DATUK TPr Fadlun Mak Ujud (kanan) menerima watikah pelantikan sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) baharu daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, petang tadi.
- Diterbit 10 Jun 2022 12:53 PM MYT

NAIB Presiden Kanan (Perkhidmatan Korporat) Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Presiden yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan bermula 15 Dis 2021.

“Pelantikan Fadlun sebagai Presiden merangkap Pengerusi Ppj yang ketujuh adalah selaras dengan perenggan 5 (1)(a) Akta Perbadanan Putrajaya 1995 (Akta 536),” katanya dalam sidang media khas mengenai pelantikan tersebut di Menara DBKL 1, hari ini.

DATUK Seri Dr Shahidan Kassim (tengah) bersama ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Hajah Rosida Jaafar(Kiri) menghadiri sesi sidang media khas pelantikan Presiden Perbadanan Putrajaya yang baharu.

Fadlun, 55, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia memulakan kerjaya di PPj sebagai Pegawai Perancangan Bandar dan Desa pada Mac 2000.

Shahidan berkata tempoh perkhidmatan dan pengalamannya selama 22 tahun di PPj dilihat mampu menerajui perbadanan itu.

“Beliau mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang luas, selain pengalaman mendalam berkaitan pengurusan bandar raya serta dasar-dasar perancangan di Putrajaya.

“Saya percaya dengan pengalaman serta daya kepimpinan dan kredibiliti yang dimilikinya, beliau berupaya memperkasakan lagi tadbir urus dan menerajui PPj untuk terus cemerlang ke arah mencapai Putrajaya Bandaraya Pentadbiran Mampan bertaraf dunia,” katanya.

Pada masa sama, Shahidan juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan Muhammad Azmi sepanjang tempoh berkhidmat sebagai Presiden merangkap Pengerusi PPj sejak 1 Okt 2020 hingga 15 Dis 2021.

Dalam pada itu, Fadlun akan memberi beberapa keutamaan antaranya untuk menyegerakan pembinaan 10,000 rumah mampu milik di Putrajaya berikutan permintaannya yang semakin meningkat.

“Ada 10 tapak yang telah kenal pasti dan akan disegerakan pembinaannya. Selepas mengadakan perbincangan, kita akan membuat majlis pecah tanah bagi pembinaan 2,500 unit rumah mampu milik pada akhir bulan ini,” katanya.

Beliau juga berharap agar impian menjadikan Putrajaya sebagai ‘Bandar Mesra Belia’ melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan selain keunikan taman-taman yang dimiliki di wilayah berkenaan dapat direalisasikan.

“Kita akan segerakan pembangunan ‘Soccer City’ Putrajaya melibatkan antaranya pembangunan stadium bola sepak dan pusat latihan bola sepak kebangsaan serta padang komuniti di Presint 4,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas