Berita

Alhamdulillah syukur, terima kasih YWP

KETUA Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun (tengah) berkesempatan turun padang beramah mesra dengan rombongan lawatan SMK Presint 9 (1) di RumahPrihatin@GrandSeasons, baru-baru ini.
- Diterbit 11 Jun 2022 2:00 AM MYT

UNIT Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Menengah Kebangsaan
Presint 9 (1) Putrajaya menghargai jasa baik Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) di atas tajaan menjayakan program lawatan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) ke tiga lokasi di sekitar Kuala Lumpur.

BALWIDAR

Guru Penyelarasnya, Balwidar Mohd Rais, teruja dengan tajaan tersebut yang disifatkan memudahkan perjalanan program yang merupakan sebahagian daripada projek ‘Sekolahku Sejahtera’.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kerana YWP sentiasa mengutamakan keperluan serta cakna terhadap keadaan warga Wilayah Persekutuan tanpa mengira bangsa untuk membantu.

“Antara sumbangan yang telah diperoleh daripada YWP adalah pengangkutan bas untuk bergerak seharian sepanjang lawatan, makan tengahari di Rumah Prihatin termasuk sehelai t-shirt buat 30 pelajar,” ujarnya.

Mengulas mengenai tujuan lawatan dilaksanakan, Balwidar berkata projek ‘Sekolahku Sejahtera’ memberi pendedahan kepada semua ahli PRS tentang keselamatan, kesejahteraan dan tindakan atau sumbangan yang boleh dilakukan kepada masyarakat.

“Ketika lawatan itu, kami telah pergi ke tiga lokasi iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Rumah Prihatin dan sekitar Sogo, Kuala Lumpur. Semasa di IPD Dang Wangi, pelajar menerima penerangan mengenai cara menghindar gejala buli dalam kalangan pelajar agar dapat mewujudkan sekolah sejahtera, selamat dan sihat.

“Mereka akan menjadi perantara atau pembimbing untuk menyampaikan maklumat dan pendedahan terutama isu kesedaran komuniti yang sewajarnya diterapkan oleh masyarakat,” ujarnya.

Tambahnya, di Rumah Prihatin pula, mereka mengunjungi setiap fasiliti yang terdapat di sana seperti Showcase Room, Bilik Penginapan Prihatin, Dapur Prihatin, Toybank Prihatin dan FoodBank Prihatin.

“Mereka juga turut diberi penerangan terhadap kegunaan dan keperluan fasiliti yang disediakan dan secara tidak langsung ia membuka peluang serta ruang buat pelajar khususnya tingkatan lima menjadi sukarelawan selepas tamat persekolahan,” jelasnya.

Balwidar berharap lawatan ini akan diteruskan pada masa hadapan kerana ia juga merupakan usaha untuk menjalinkan kerjasama baik dengan pihak di luar selain program pendedahan dan kesedaran buat anak-anak PRS di SMK Presint 9 (1), Putrajaya.

Bagi mana-mana individu yang berminat menjadi sukarelawan Rumah Prihatin, boleh melayari laman web rasmi https://www.yayasanwp.org/rumahprihatin untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai permohonan dan kelayakan penyertaan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas