Berita

PKPB gesa beberapa sektor dibenar beroperasi

- Diterbit 19 Januari 2021 11:42 AM MYT

TINDAKAN kerajaan ­menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha ­membendung penularan kes pandemik COVID-19 disokong pelbagai pihak termasuk, Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB).

Setiausaha Agungnya, Rizan Hassan menyatakan tindakan melaksanakan ­semula PKP di beberapa negeri selain Proklamasi Darurat disokong penuh PKPB dan turut berterima kasih kepada kerajaan apabila membenarkan ­beberapa sektor ekonomi penting berjalan seperti biasa.

Perkara tersebut ­katanya jadi penyuntik motivasi ­pekerja berkemahiran untuk ­terus menyumbang produktiviti demi kesejahteraan ekonomi negara.

“Namun, PKPB ingin ­kerajaan mempertimbang beberapa senario dan perkara diperhalusi untuk memastikannya terus berjalan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Pengoperasian sektor Latihan Kemahiran serta, Penempatan Kerjaya perlu dibenarkan, termasuk merentas daerah dan negeri.

Ini kerana, pelatih di Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) hanya boleh diberikan latihan 30 peratus sahaja secara teori melalui dalam talian.

“Selebihnya mereka ­perlu di lapangan bagi latihan praktikal secara ‘hands-on’. Tanpa kehadiran ‘face to face’ ­implikasinya kepada kompetensi pelatih untuk ­diterima bekerja,” katanya dalam ­kenyataan media di sini, ­baru-baru ini.

PKPB berpendapat, pe­nangguhan latihan akibat kekangan dihadapi itu hanya akan menyebabkan pelatih hilang minat meneruskan latihan selain ­majikan pula sukar ­mendapatkan tenaga kerja ­seperti diharapkan.

Senario ­tersebut ­kata Rizan, ­menyebabkan hasrat kerajaan menggantikan tenaga kerja asing juga semakin sukar untuk dicapai.

Menurutnya, pelatih kemahiran adalah golongan belia sedang dipersiap untuk memasuki pasaran kerja sektor penting negara seperti perkilangan, pembuatan, pertanian dan lain-lain.

“Justeru, kelonggaran perlu diberi dengan SOP ditetap supaya semua pihak dapat menyumbang bagi peningkatan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, PKPB turut sarankan mekanisma diperkenalkan seperti Skim Perantisan Nasional (SPN) dan Peluang Kerjaya NGO bagi membantu Belia NEET (Not in Employment, Education and Training) termasuk belia menganggur, lepasan sekolah, Institusi Pengajian Tinggi dan kemahiran dipercepat dan digerakkan dengan serius.

“Kelompok terbabit boleh sumbang peningkatan ekonomi dan kurangkan pengangguran.

Jadi, kerangka pelaksanaan SPN atau peluang kerjaya oleh NGO seperti pameran dan taklimat kerjaya, temuduga terbuka wajar dibenarkan pada ­skala yang kecil serta terkawal,” jelasnya. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas