Berita

Kemaskini senarai penerima bantuan di Putrajaya

Anggota Perbadanan Putrajaya merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz (dua dari kiri) bersama barisan sukarelawan menyampaikan sumbangan bantuan kepada 10 penerima yang tercicir sebelum ini di Apartment Presint 16, Putrajaya.
- Diterbit 19 Januari 2021 11:51 AM MYT

PEMIMPIN-pemimpin komuniti perlu sentiasa mengemaskini senarai penerima bantuan bagi memudahkan pihak berkuasa menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan terutamanya di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Anggota Pentadbiran Perbadanan Putrajaya (PPj) Tun Faisal Ismail Aziz berkata di Putrajaya memang ada penerima dan mendapat bantuan cuma apabila disemak semula ada kes-kes terbaharu yang belum didaftarkan dengan PPj.

“Kita kini berada di dalam tempoh PKP 2.0 dan berkemungkinan jumlah orang yang diberhentikan kerja juga akan meningkat.

Jadi, kita minta kepada Ketua Komuniti, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya (MPPWP) serta Ketua Cawangan UMNO untuk menamakan orang yang mungkin tercicir daripada senarai bantuan yang telah diberikan sebelum ini,” ujarnya.

“Jadi kita bantu daftarkan mereka dengan PPj dan mudah-mudahan selepas berdaftar nanti, bolehlah mereka mendapat bantuan untuk pusingan seterusnya.

“Malah Perdana Menteri telah pun mengumumkan inisiatif terbaharu yang dinamakan PERMAI dan Insya-Allah mereka boleh dapat,” katanya.

Pada program tersebut, Tun Faisal telah menyampaikan sekampit beras serta baucar membeli belah bernilai RM100 kepada 10 keluarga yang telah kehilangan pekerjaan.

Sementara itu, mengulas mengenai peningkatan kes COVID-19 di Putrajaya, Tun Faisal berkata apa yang menjadi kerisauan kepada pihak berkuasa adalah virus ini bersifat sporadik dan ia telah berada di dalam komuniti.

“Semakin hari, kita dengar makin ramai yang hampir hubungannya dengan kita telah dijangkiti virus ini ataupun menjadi kontak rapat terhadap pesakit ini,

“Oleh kerana komuniti Putrajaya sangat rapat antara satu sama lain, dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini perlu lebih berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata, PPj telah pun melaksanakan kerja-kerja sanitasi awam dan sanitasi kawasan sebagai usaha untuk memutuskan rantaian penularan wabak tersebut.

“Proses ini akan dilaksanakan berterusan kerana nampaknya virus ini telah pun berada di dalam komuniti dan ia cukup mudah tersebar dan menjangkiti orang ramai,” katanya. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas