Berita

PKPB bukan maksud bebas tapi penguatkuasaan SOP

DBKL menjalankan penguatkuasaan terhadap SOP seperti amalan penjarakan sosial di kawasan pasar.
- Diterbit 3 Mei 2020 10:16 AM MYT

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta tidak salah tafsir terhadap keputusan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok (4 Mei) dengan menganggap mereka sudah bebas sepenuhnya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, langkah tersebut sebenarnya daripada kawalan terhadap pergerakan kepada penguatkuasaan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP).

“Bukan sudah bebas, dahulu sekat pergerakan, selepas ini dibolehkan tetapi mesti patuhi SOP dan perlu ada elemen penguatkuasaan,” katanya.

Annuar berkata, pasukan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan peraturan tersebut dengan tenaga digerakkan ke premis-premis setelah sekatan jalan raya dikurangkan.

Tambahnya, pegawai-pegawai penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan boleh digerakkan untuk menyemak apa yang berlaku di kawasan masing-masing.

“Kalau ada yang tidak patuh mereka boleh diberikan amaran dan premis boleh diarah tutup jika gagal patuh kepada SOP,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar membuat teguran kepada beberapa taman perumahan tertentu yang didapati kotor dan meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Alam Flora mengambil tindakan.

“Alam Flora jaga di luar premis tetapi kebanyakan kawasan didiamai warga asing sangat kotor dan tidak dijaga.

“Ada duduk terlalu ramai, bersesak-sesak dan terlalu kotor. Ada yang bela kambing dalam rumah, sampah-sarap dalam rumah, ini semua melanggar peraturan dan kegunaan bangunan,” katanya.

Jelas beliau, keadaan tersebut menyebabkan rakyat tempatan terpaksa cari jalan untuk berpindah kerana tidak suka kepada jiran dan penyewa yang pengotor selain rasa  tidak selesa dan selamat tinggal di situ.

Tegasnya, perkara itu mesti ditamatkan dengan tindakan serius perlu diambil pihak DBKL. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas