Berita

Tidak mahu pasar borong jadi ‘Little Myanmar, Little Arakan’

PASAR Borong Kuala Lumpur perlu bersih daripada pekerja asing tanpa izin.
- Diterbit 3 Mei 2020 9:46 AM MYT

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa terperanjat apabila mendapati terdapat 1,000 pekerja warga tempatan kini bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur selepas pekerja asing di kawasan tersebut dilarang keluar ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Beliau berkata, sebenarnya ada warga tempatan yang sanggup bekerja namun sebelum ini peniaga-peniaga menggajikan warga asing kerana kemungkinan hanya perlu membayar upah yang murah.

“Kenapa tidak boleh menggajikan lebih sedikit kepada pekerja tempatan tetapi sanggup guna pekerja asing yang tidak ada dokumen dan tidak menjaga kebersihan.

“Sebenarnya ada orang tempatan hendak bekerja malah hari ini kita temubual gelandangan yang boleh diberikan kerja,” katanya dalam sesi Live di laman Facebooknya hari ini.

Sesi itu juga disiarkan secara langsung melalui Facebook Wilayahku.

MASIH ramai lagi pekerja tempatan yang boleh digajikan untuk bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri WP menegaskan, pihaknya tidak mahu melihat Pasar Borong Selayang menjadi seperti Little Myanmar atau Arakan dan untuk itu perubahan perlu dilakukan ke atas kawasan tersebut.

“Selayang mesti kekal Selayang, mesti ke arah berhentikan suasana kotor dan perlu utamakan pekerja tempatan. Mungkin terpaksa bayar lebih sedikit tetapi orang tempatan, rakyat kita, kongsilah keuntungan dengan dengan rakyat sendiri,” kata beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas