Berita

Pemandu mabuk perlu dikenakan hukuman setimpal

JENAZAH Safwan dibawa keluar dari bilik mayat di Hospital Serdang. Gambar Facebook Friends Of PDRM
- Diterbit 4 Mei 2020 2:31 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menggubal undang-undang yang membolehkan kesalahan bagi pemandu mabuk hingga menyebabkan kemalangan maut dikenakan hukuman yang setimpal.

Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah berkata, langkah itu bertujuan untuk mengelakkan kejadian seperti yang menimpa seorang anggota polis kelmarin dan orang yang tidak bersalah menjadi korban.

MURUGIAH

“Kejadian seorang anggota polis yang maut dirempuh awal pagi semalam oleh lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk amat dikesali.

“Tidak sepatutnya dalam keadaan negara sedang mengamalkan Perintah Kawalan Pergerakan masih ada kes memandu sambil mabuk hingga menyebabkan kehilangan nyawa kepada anggota frontline kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Sambil mengutuk sekeras-kerasnya kejadian itu, Murugiah meminta pihak berkuasa mengambil tindakan keras terhadap si pelaku yang menyebabkan terkorbannya anggota polis yang membantu rakyat memerangi peperangan wabak Covid-19.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga anggota polis kita yang terkorban, Koperal Safwan Mohamad Ismail yang berusia 31 tahun.

“Kita telah kehilangan seorang anggota yang berharga kepada negara kita. Apa yang diharapkan, pihak yang bersalah dapat diambil dan diberi hukuman yang setimpal,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar memahami keadaan negara dan dunia kini dengan bersama-sama membantu anggota keselamatan memerangi wabak Covid-19 dan memastikan dapat memenangi peperangan ini.

“Janganlah kita menambah beban anggota keselamatan dan duduk di rumah, jaga keselamatan kita dan keluarga tersayang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas