Berita

PKP di Sibu selama 14 hari mulai Sabtu ini

- Diterbit 14 Januari 2021 10:51 AM MYT

KERAJAAN negeri Sarawak memutuskan untuk melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bahagian Sibu untuk tempoh 14 hari bermula Sabtu ini sehingga 29 Jan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan keputusan itu dibuat susulan peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lepas.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan PKP tersebut meliputi daerah Sibu, Kanowit dan Selangau.

“Prosedur operasi standard (SOP) berhubung dengan PKP ini akan dimaklumkan kepada orang awam esok, manakala PKP Bersyarat (PKPB) untuk bahagian Sarikei masih dikekalkan,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, JPBN memaklumkan semua warganegara Malaysia serta bukan warganegara yang ingin masuk ke Sarawak dari Semenanjung, Sabah dan Labuan dikehendaki membuat ujian saringan RT-PCR tiga hari sebelum mereka memasuki negeri ini.

“Keputusan ujian mestilah negatif (untuk dibenarkan masuk Sarawak) dan dilampirkan dalam permohonan enterSarawak. Arahan ini berkuat kuasa mulai 16 Jan,” menurut kenyataan itu.

Hari ini, Sarawak terus mencatat angka tiga digit bagi kes baharu positif COVID-19 untuk empat hari berturut-turut apabila 180 kes dilapor hari ini, iaitu jumlah tertinggi kes harian yang pernah direkodkan setakat ini.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 1,920 kes. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas