Berita

PKP: Penugasan, operasi anggota PGA di sempadan negara tidak berubah – KPN

- Diterbit 14 Januari 2021 10:48 AM MYT

PENUGASAN anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan negara tidak berubah meskipun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya mempunyai pasukan lain yang ditugaskan khas untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dan sekatan jalan raya (SJR) sepanjang tempoh PKP.

“Pasukan PGA bersama pasukan tentera hanya ditugaskan untuk Operasi Benteng dan lain-lain tugas berkaitan sempadan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Kelmarin, dilaporkan cuti semua pegawai dan anggota polis di seluruh negara dibekukan serta-merta berikutan peningkatan kes COVID-19 serta pelaksanaan PKP.

Berikutan itu, seramai 48,000 anggota polis bertugas sepanjang tempoh PKP manakala 12,000 lagi bersiap-sedia untuk dikerahkan apabila diperlukan.

PKP dilaksanakan di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 13 Jan hingga 26 Jan.

Enam lagi negeri – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis dan Sarawak untuk tempoh sama. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas