Berita

PKBM sambut baik kebenaran operasi G1, G2

KONTRAKTOR G1 dan G2 dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.
- Diterbit 11 April 2020 9:34 AM MYT

PUTRAJAYA – Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) mengalu-alukan kebenaran beroperasi sepanjang tempoh Pelaksanaan Perintah Kawalan (PKP) yang diberikan kepada kontraktor kelas G1 dan G2 sepertimana diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam.

Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, kebenaran yang diberikan itu sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan kepada golongan kontraktor yang turut terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Justeru, ujarnya, langkah-langkah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan ditekankan supaya dipatuhi dengan sebaiknya termasuk cadangan prosedur pembersihan rapi yang perlu dilaksanakan di setiap tapak projek pembinaan, terutamanya di laluan masuk utama dengan menyediakan ruangan disinfeksi badan (BDC).

“Ini akan memastikan saringan ujian jangkitan pekerja tapak binaan dapat dilakukan setiap hari. Pematuhan juga merangkumi cara kerja yang lebih terjamin kepada sebarang risiko jangkitan Covid-19.

“Pekerja binaan akan sentiasa diberi penerangan sepanjang masa terhadap aspek pencegahan wabak bukan hanya ketika berada di tapak binaan tetapi ingatan selepas waktu bekerja.

“Saya juga memberi amaran keras kepada semua ahli kontraktor supaya tidak ambil mudah dengan kelonggaran kerja yang diberikan dan tidak ingkar dengan segala SOP yang ditetapkan pihak berkuasa. Sebarang keingkaran perlu dikenakan tindakan undang-undang segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azman turut mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan (KKM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) memperketatkan pemeriksaan selain kerap membuat pemantauan di semua tapak binaan selain memberi kad pelepasan khas kepada pekerja yang sudah membuat saringan Covid-19 sekali gus memastikan tapak binaan bebas wabak.

Beliau juga memohon pertimbangan kerajaan untuk memberi kebenaran beroperasi yang sama kepada kontraktor kelas G3, G4 dan G5 untuk meneruskan pelaksanaan projek yang mencapai kemajuan fizikal sebanyak 70 peratus dan ke atas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas