Berita

Cadangan pelajar IPT dibenar pulang diteliti

PELAJAR universiti masih terus diarahkan kekal berada di kampus masing-masing dalam tempoh PKP. Gambar hiasan
- Diterbit 11 April 2020 9:37 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti cadangan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terhadap pelajar yang ingin pulang ke kampung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara ini melibatkan pergerakan individu dalam jumlah besar iaitu hampir 80,000 pelajar di seluruh negara di Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Menurut beliau, jumlah tersebut tidak termasuk mereka yang tinggal di luar kampus yang mempunyai keinginan sama untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Kita telah terima cadangan daripada KPT termasuk ada sebahagiannya ingin pulang ke Sabah dan Sarawak.

“Justeru, kita meminta KKM melihat perkara ini dari segi kesan kesihatan bukan sahaja pelajar malah penduduk di kawasan mereka akan pulang nanti.

“Seperti dimaklumkan KKM melihat berlaku sedikit penurunan dari segi jumlah positif Covid-19.

“KKM tidak mahu perkara sebegini menjejaskan usaha mereka dan jumlah kembali tinggi semula,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas rintihan dan cadangan kebenaran pelajar UA dan IPTS pulang ke kampung halaman bagi menyambut Ramadan selepas hampir sebulan ‘terkandas’ di kolej kediaman masing-masing akibat Covid-19.

Jelas Ismail Sabri, secara umumnya kerajaan mahu PKP ini ditamatkan mengikut perancangan KKM.

“Kita tidak mahu mengagalkan usaha yang selama ini duduk di rumah selama sebulan.

“Hanya kerana perkara tidak diteliti dengan terperinci terpaksa duduk di rumah lebih lama,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas