Berita

Kebenaran operasi kedai gunting diteliti semula

- Diterbit 11 April 2020 9:17 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meneliti semula perkhidmatan kedai gunting rambut yang dibenarkan beroperasi semula sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran beroperasi kedai gunting rambut itu telah menimbulkan polemik di media sosial termasuk di WhatsApp.

“Saya dimaklumkan MITI akan meneliti semua pandangan rakyat dan memperhalusi perkara tersebut,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Kerajaan semalam mengumumkan kelonggaran kepada sembilan industri untuk beroperasi semula sepanjang tempoh PKP.

Ini meliputi industri automotif, industri mesin dan peralatan, industri aero angkasa, perkhidmatan sains, profesional dan teknikal, perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradsional berdaftar, perkhidmatan kedai perkakasan (hardware), barangan elektrik, elektronik, kedai cermin mata dan kedai dobi.

Bagaimanapun, kedai gunting rambut yang turut diberikan kelonggaran menimbulkan kebimbangan mengenai wujudnya kluster baharu seperti berlaku di luar negara.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri menjelaskan kerajaan belum bercadang memanjangkan tempoh operasi bagi kedai makanan khususnya menjelang Ramadan ini.

“Setakat ini, keadaan begitu tenang dan selesa dan rakyat masih boleh beli makanan sehingga pukul 8 malam sebelum kedai ditutup.

“Tiada banyak aduan kesukaran mendapatkan makanan, saya berasa masih tidak menukar jangka ditetapkan (8pagi hingga 8 malam),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas