Berita

PJMKM MyGrocer@Wilayah dilancarkan, bantu kurangkan beban rakyat

SHAHIDAN (dua kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil pasar raya yang bekerjasama dalam pelaksanaan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di Labuan.
- Diterbit 27 Ogos 2022 1:00 AM MYT

PROGRAM Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) MyGrocer@Wilayah yang telah dilancarkan di Pulau Bebas Cukai ini merupakan komitmen kerajaan dalam membantu mengurangkan beban rakyat dalam cabaran peningkatan kos sara hidup.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, dilaksanakan selama lima bulan merupakan satu program inisiatif oleh Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bertujuan untuk membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup dan membantu rakyat untuk mendapatkan bekalan.

“Dengan program ini, sudah pasti rakyat mendapatkan bekalan yang lebih murah berbanding hari kebiasaannya dan program ini memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di salah sebuah pasar raya di sini, pada Sabtu lalu.

Hadir sama, isteri kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datin Seri Shamsiah M Yassin, Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.

Shahidan berkata program selama lima bulan itu diadakan bermula 20 dan 21 Ogos diikuti 28 Ogos di tiga pasar raya terpilih iaitu Bataras Hypermarket, Savemore Supermarket dan Family Mart.

Sebanyak lapan jenis barangan yang disenaraikan dalam PJMKM 2022 dan kadar subsidi yang diberikan iaitu ayam segar, ayam bulat (RM3.00), telur ayam (RM0.50), tepung gandum 1 kg (RM0.20), gula 1 kg (RM0.15), sardin bukan premium 425gm (RM0.50), beras bukan premium 5kg (RM1.50), susu pekat 500gm (RM0.70), santan kotak 200ml (RM0.20).

PJMKM akan diperluaskan dalam skala yang lebih besar bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan keperluan harian pada harga yang lebih murah daripada pasaran. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas