Berita

YWP sumbang katil hospital

MOHD Shafie Abdullah (kanan) meluangkan masa melihat keadaan Mohamed Amin sejurus menyampaikan sumbangan katil di Taman Melati baru-baru ini.
- Diterbit 27 Ogos 2022 12:30 AM MYT

PERASAAN sebak dan terharu menyelubungi anak kepada pesara kerajaan, Mohamed Amin Bawai, 84, yang menerima sumbangan katil hospital daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), di Taman Melati, baru-baru ini.

Rosfarina Mohamed Amin, 54, berkata dia bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya YWP, Persatuan Penduduk dan UMNO bahagian Wangsa Maju kerana meringankan beban bapanya.

“Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak terutama Tuan Haji Ibrahim kerana beliau yang menghubungkan kami dengan pihak YWP setelah mengetahui keadaan abah yang amat memerlukan katil hospital untuk memudahkan pergerakannya.

“Bantuan katil ini sememangnya membantu proses pemulihan abah yang tidak dapat bergerak selepas jatuh tergelincir di dapur sehingga patah peha kanan dan memerlukan bantuan dalam menguruskan keperluan dirinya,” katanya kepada Wilayahku.

Berkongsi tentang keadaan bapanya, Rosfarina berkata selain menanggung kesakitan patah peha kanan, bapanya juga menghidap penyakit kencing manis kronik, kompilasi buah pinggang serta merupakan bekas pesakit jantung.

“13 tahun lalu abah bertarung dengan penyakit jantung tetapi alhamdulillah sudah pulih dengan ubat-ubatan sahaja tanpa melalukan sebarang intervensi pembedahan. Selepas itu, abah menghidap kencing manis kronik. Jika tidak mengawal pemakanan, dia perlu menjalani dialisis.

“Setelah merujuk dengan pakar-pakar berkaitan jantung dan buah pinggang, risiko untuk abah menjalani pembedahan membetulkan tulang peha yang patah itu amat tinggi. Oleh itu, atas saranan doktor abah dibenarkan untuk menjalani pemulihan di rumah,” kata anak bongsu daripada dua beradik ini.

Malah Rosfarina juga terpaksa berhenti kerja sebagai kakitangan pentadbiran kerana perlu memberikan sepenuh perhatian kepada bapanya memandangkan kakaknya menetap di Shah Alam dan ibunya pula telah meninggal dunia pada tahun lepas akibat COVID-19.

“Saya tinggal berdua sahaja dengan abah di sini, segala keperluan seperti makan, mandi dan sebagainya saya yang uruskan. Pada awalnya saya juga bimbang dengan pendapatan keluarga terutama untuk kos perubatan abah, makanan dan sebagainya tetapi mujurlah abah ada pencen ketika berkhidmat sebagai bekas sukarelawan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kami turut dibantu oleh Ahli Jawatankuasa Masjid Salahuddin Al Ayyubi Taman Melati yang mendermakan wang tunai sebanyak RM2,000 beserta empat beg lampin pakai buang selain pihak Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memberikan dua beg lampin pakai buang dan wang tunai,” katanya.

Terdahulu, sumbangan katil hospital disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah bersama Eksekutif Kanan Pusat Pemerkasaan Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM), Mohd Farhan Azhari yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun serta beberapa ahli barisan kepimpinan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas